Israel siap sedia terhadap kemungkinan serangan menjelang ulang tahun 7 Oktober

Israel siap sedia terhadap kemungkinan serangan menjelang ulang tahun 7 Oktober

Baitulmaqdis: Israel meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga menjelang ulang tahun serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Amaran itu datang dengan Israel terbabit dalam perang yang semakin sengit dengan kumpulan Hizbullah Lubnan.

Menjelang ulang tahun tragedi itu esok, jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari pada taklimat di televisyen berkata, pihaknya bersedia dengan kemungkinan serangan.

Serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023 mengakibatkan kematian 1,205 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP. Ia berdasarkan angka rasmi Israel yang termasuk tebusan yang terbunuh dalam tahanan.

Israel kemudian menyerang Gaza dan menyebabkan lebih 41,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan lebih 95,200 cedera.

Selepas hampir setahun, rejim itu kini mengalihkan tumpuannya ke utara ke Lubnan, di mana ia kini berperang dengan Hizbullah, dan tertumpu kepada Iran yang menyokong pergerakan itu.

Tentera Israel berkata, mereka membunuh kira-kira 440 pejuang Hizbullah “dari darat dan dari udara” sejak Isnin lalu apabila tentera mula “menyasarkan” operasi darat terhadap Hizbullah di Lubnan.

Israel berkata, serangan di Lubnan bertujuan untuk membenarkan puluhan ribu rakyatnya yang dipindahkan hampir setahun susulan tembakan roket Hizbullah ke utara Israel, supaya dapat pulang ke rumah mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top