Israel tahan jenazah kanak-kanak Palestin

Israel tahan jenazah kanak-kanak Palestin

TEL AVIV – Rejim Israel dilaporkan telah merampas dan menahan jenazah seorang kanak-kanak Palestin yang dibunuh pada Isnin di Baitulmaqdis, Tebing Barat.

Menurut pertubuhan masyarakat sivil Defence for Children International tindakan menahan jenazah kanak-kanak berusia 14 tahun itu adalah melanggar undang-undang antarabangsa.

Penahanan jenazah Wadea Shadi Sa’d Elayan menjadikan jumlah keseluruhan mayat kanak-kanak Palestin yang dirampas oleh Israel berjumlah 25 orang.

“Kanak-kanak Palestin tidak boleh berehat walaupun selepas kematian kerana pihak berkuasa Israel terus merampas jenazah kanak-kanak dan menahan mereka daripada keluarga mereka selama-lamanya,” kata pengarah akauntabiliti organisasi itu Ayed Abu Eqtaish dalam satu kenyataan.

“Amalan pihak berkuasa Israel merampas dan menahan jenazah Palestin adalah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” kata organisasi itu seperti yang dilaporkan oleh Al Jazeera.

Mahkamah Agung Israel pada 2019 membenarkan tindakan menahan mayat kanak-kanak berikutan perintah kerajaan supaya jenazah rakyat Palestin yang didakwa menyerang warga Israel ditahan daripada keluarga mereka.

Menurut pertubuhan itu, seramai 121 kanak-kanak Palestin dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki pada 2023 dan setakat ini – 15 kanak-kanak telah dibunuh di wilayah yang diduduki oleh peneroka haram dan askar Israel.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 27,478 rakyat Palestin telah terbunuh dan 66,835 lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung sekurang-kurangnya 113 orang terbunuh dan 205 lagi cedera dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja.- Agensi