Baitulmaqdis: Israel tidak membenarkan solat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dengan alasan sekatan keselamatan susulan perang terhadap Iran.
Menurut Anadolu Ajansi, rakyat Palestin menyeru jemaah pada Jumaat untuk berkumpul berhampiran Kota Lama Baitulmaqdis bagi menunaikan solat sedekat mungkin dengan Masjid Al-Aqsa sempena menandakan berakhirnya Ramadan.
Polis Israel sebelum ini menggunakan rotan, bom bunyi dan gas pemedih mata terhadap rakyat Palestin yang menunaikan solat di luar tembok Kota Lama Baitulmaqdis sebagai protes terhadap sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.
Baitulmaqdis Timur yang diduduki memasuki tempoh perayaan dengan suasana muram pada tahun ini.
Kota Lama Baitulmaqdis yang biasanya dipenuhi rakyat Palestin beberapa hari sebelum Aidilfitri, kini sunyi sepi dan kelihatan seperti bandar hantu.
Dalam pada itu, Israel mengehadkan akses dengan mengambil alasan larangan perhimpunan.
Peniaga Palestin pula dihalang daripada membuka kedai mereka dengan hanya farmasi dan kedai makanan penting dibenarkan beroperasi.
Peniaga Palestin, yang enggan dinamakan kerana bimbang terhadap tindakan balas Israel berkata, sekatan itu menyebabkan mereka mengalami kesusahan ekonomi yang teruk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




