Baitulmaqdis: Kerajaan Israel menangguhkan tarikh pilihan raya perbandaran pada 27 Februari depan, menurut media tempatan.
Agensi Anadolu melaporkan, tarikh asal pilihan raya asalnya dijadualkan pada 30 Januari.
Bagaimanapun, data ketenteraan menunjukkan 688 calon untuk 144 bandar dan pekan kini berkhidmat dalam simpanan tentera dan tidak boleh ‘dilepaskan’ untuk pilihan raya.
“Kami biasanya tidak mengadakan pilihan raya ketika perang tetapi pilihan raya ini ditetapkan lebih awal.
“Syor saya jelas: lakukan ini pada penghujung Februari untuk membolehkan seramai mungkin anggota simpanan menyertai pilihan raya. Ini adalah hak asas dan penting,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika mesyuarat Kabinet.
Menurut rekod, ia kali kedua pilihan raya tempatan, ditangguhkan.
Pilihan raya itu pada asalnya dijadualkan pada penghujung Oktober tetapi ditangguhkan selama tiga bulan di tengah-tengah serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, susulan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, serangan Israel di Semenanjung Gaza didakwa sudah membunuh sekurang-kurangnya 21,822 rakyat Palestin, yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak. Ia turut mencederakan 56,451 yang lain.
Hampir 1,200 penduduk Israel dipercayai terkorban dalam serangan Hamas.
Serangan Israel pula menyebabkan kemusnahan di Gaza dengan hampir 60 peratus infrastruktur enklaf itu rosak atau musnah.
Dianggarkan, dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan mereka berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




