Israel tertampar, sekatan mengejut

Israel tertampar, sekatan mengejut

LONDON – Israel berdepan tamparan hebat apabila lima negara Barat mengumumkan sekatan mengejut ke atas dua menteri ‘ekstremis’ kerana didakwa menghasut keganasan melampau terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Keputusan bersama itu diumumkan Britain, Australia, Kanada, New Zealand dan Norway pada Selasa yang disifatkan sebagai teguran keras komuniti antarabangsa ke atas dasar penempatan haram Yahudi di Ramallah dan provokasi melampau puak ekstremis Yahudi yang kian meningkat sejak Perang Gaza tercetus pada Oktober 2023.

Tindakan tegas itu dikenakan ke atas Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang merupakan ‘rakan sekongkol’ Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang beria-ia menyokong projek peluasan penempatan haram Yahudi dan perang genosid secara berterusan ke atas Genting Gaza.

Difahamkan, kedua-duanya bakal berdepan langkah pembekuan aset dan larangan perjalanan.

Menerusi kenyataan bersama, Menteri Luar kelima-lima negara itu menegaskan Ben-Gvir dan Smotrich secara terang-terangan mencabuli hak asasi penduduk Palestin.

“Mereka berulang kali menggunakan retorik keterlaluan yang memaksa pemindahan penduduk Palestin dan mendesak penubuhan penempatan haram baharu Yahudi,” jelas kenyataan itu.

Menteri Luar New Zealand, Winston Peters berkata, kedua-dua pemimpin sayap kanan itu sengaja menjejaskan prospek keamanan dan keselamatan sambil menghasut keganasan serta merancang pengusiran penduduk Palestin dari tanah air mereka.

Sebagai respons kepada pengumuman itu, Smotrich dengan angkuh menyatakan mereka akan tetap meneruskan projek penempatan haram Yahudi tersebut.

Sekutu pelan keji itu, Ben-Gvir menerusi catatan di media sosial pula bertindak menyindir Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

Seperti sudah dapat dijangka, Amerika Syarikat (AS) selaku sekutu kuat Israel juga mengecam langkah sekatan itu.

“Kami mengingatkan rakan kongsi kami supaya tidak melupakan siapa musuh sebenar,” ujar Setiausaha Negara, Marco Rubio yang turut mendesak keputusan itu ditarik balik.

Bagi peguam hak asasi manusia di Tel Aviv, Eitay Mack, pengumuman itu merupakan ‘langkah bersejarah’.

“Ia menunjukkan ‘tembok imuniti’ ahli politik Israel sudah pun retak dan lambat-laun bakal runtuh. Sukar untuk percaya negara Barat mengambil langkah ini ketika Presiden Donald Trump masih berkuasa di Rumah Putih.

“Ia juga adalah mesej jelas kepada Netanyahu bahawa dia bakal menjadi sasaran seterusnya,” menurutnya yang berkempen selama bertahun-tahun menuntut sekatan ke atas Smotrich dan Ben-Gvir. – Agensi

Scroll to Top