Istaf perkenal versi sepak takraw untuk atlet kurang upaya

Istaf perkenal versi sepak takraw untuk atlet kurang upaya

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) membuka lembaran baharu apabila memperkenalkan versi khas sepak takraw untuk atlet kurang upaya, sekali gus memberi peluang kepada mereka bersaing di pentas antarabangsa.

Langkah itu diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman bersama World Abilitysport yang juga ahli Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Dalam satu kenyataan, Istaf memaklumkan, kerjasama itu bertujuan memperluas pembangunan sepak takraw di peringkat global selain memastikan sukan berkenaan lebih inklusif dan boleh diakses semua lapisan atlet.

“Kerjasama dengan World Abilitysport membuka ruang lebih luas kepada atlet kurang upaya untuk menyertai sepak takraw di peringkat antarabangsa.

“Ia selaras dengan prinsip bahawa sukan adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang dan keupayaan.

“Atlet kini layak bertanding dalam sepak takraw adaptif antarabangsa menerusi tiga klasifikasi utama berdasarkan jenis ketidakupayaan,” menurut kenyataan itu.

Tiga kategori diperkenalkan adalah TKR1 bagi kecacatan anggota bawah paras atas lutut, TKR2 (bawah lutut) serta TKR3 membabitkan kecacatan anggota atas.

Menurut Istaf, semua atlet dalam kategori berkenaan dibenarkan menggunakan prostesis atau peralatan sokongan bagi membantu pergerakan dan keseimbangan selain menggalakkan lebih banyak negara menubuhkan pasukan menjelang temasya antarabangsa Sukan Para Belia Dunia 2026 di Turkiye.

“Kami yakin inisiatif ini bukan sahaja memperluas penyertaan, malah mengangkat lagi kedudukan sepak takraw sebagai sukan inklusif yang mampu menyatukan komuniti antarabangsa,” menurut Istaf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top