Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria atas pemilihan tanpa bertanding sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Sumali Reduan yang meraih undian kedua tertinggi bagi jawatan Naib Presiden dengan 80 undi.
Setiausaha Agung Istaf Datuk Abdul Halim Kader berkata, badan induk itu yakin kepimpinan mereka mampu mengukuhkan lagi kerjasama antara badan sukan kebangsaan dan antarabangsa demi pembangunan sukan dan kecemerlangan prestasi negara.
“Di bawah kepimpinan berterusan Tan Sri Norza, kami menjangkakan kemajuan dalam tadbir urus, sistem prestasi atlet dan pengukuhan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Komitmen beliau terhadap inovasi, kecemerlangan dan kerjasama pasti akan menyumbang kepada inisiatif baharu yang memanfaatkan ekosistem sukan dari peringkat akar umbi hingga ke persada global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, pemilihan Sumali membanggakan komuniti sepak takraw selain mencerminkan kepercayaan kian meningkat terhadap pemimpin yang memperjuangkan sukan tradisional dan serantau.
“Dengan peranan baharu beliau di MOM, Sumali akan mendapat pemahaman mendalam mengenai tadbir urus sukan antarabangsa, pematuhan Agensi Anti Doping Dunia (Wada) dan gerakan Olimpik, pengalaman yang diharap dapat dikongsi untuk memajukan sepak takraw,” katanya.
Terdahulu, Mohamad Norza mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MOM bagi penggal 2025–2029 manakala Datuk Nur Azmi Ahmad diumumkan sebagai Timbalan Presiden MOM pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-44, hari ini.
Sementara Sumali bersama empat yang lain iaitu Azizul Annuar yang meraih 81 undi, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli (65 undi), Nurul Huda Abdullah (62 undi) dan Datuk Chong Kim Fatt (56 undi) turut terpilih memegang jawatan Naib Presiden MOM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




