Pelakon dan penyanyi Zack X-Factor berkata dia kini sibuk menggalas tanggungjawab sebagai suami rumah tangga serta memilih untuk menjaga anak-anak.
Memetik mStar Online, Zack berkata dia membuat keputusan itu selepas beberapa kejadian tidak diingini berlaku apabila anaknya dihantar kepada pengasuh.
“Isteri saya sangat sibuk, jadi saya terpaksa berkorban dengan menjadi suami rumah tangga sebab bila hantar anak ke pengasuh macam-macam yang berlaku.
“Ada lebam sana sini dan saya tak boleh terima itu. Jadi isteri saya cakap sama ada dia atau saya yang uruskan anak,” katanya.
Menurut Zack, keputusan itu bukan mudah apabila hanya isterinya sahaja mencari nafkah namun bersyukur pekerjaan isterinya sebagai tentera mampu menyediakan kediaman serta kewanga yang baik.
“Mula-mula memang berat nak buat keputusan sebab tak tahu perjalanannya macam mana, lebih-lebih lagi bila fikir keadaan kewangan tapi beruntungnya isteri saya tentera darat.
“Dari segi rumah saya tak kisah sebab boleh duduk dalam kem. Saya memang tak peduli dengan pandangan orang sebab inilah peluang saya untuk menjaga anak,” katanya.
Dalam pada itu, Zack berkata sepanjang dua tahun menjadi suri rumah dia terima banyak tawaran namun terpaksa menolak kerana menguruskan anak-anak dan bimbang membebankan orang lain.
Untuk rekod, Zack berkahwin dengan Jennifer Carterina pada 2013. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata berusia 10 tahun dan dua tahun.
Sumber: mStar Online




