Isteri duta Belgium pukul pekerja butik atas dakwaan curi barang

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan isteri duta Belgium menyerang dua pekerja butik disiarkan di televisyen nasional. (Tangkap layar video YouTube)

SEOUL: Duta Belgium ke Korea Selatan memohon maaf pada Khamis selepas rakaman CCTV menunjukkan isterinya memukul dua pekerja butik di kepala atas dakwaan mencuri barang.

Isteri duta itu mencuba beberapa barang di sebuah kedai di Seoul sebelum meninggalkan premis itu, menyebabkan seorang pembantu mengejarnya untuk bertanyakan barang dipakainya sebelum konfrontasi berlaku.

Rakaman CCTV yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan, SBS, menunjukkan wanita itu menarik lengan seorang pekerja dan memukulnya di kepala, sebelum menampar muka seorang lagi pekerja yang cuba campur tangan.

SBS berkata, rakaman itu diberikan kepada mereka dengan harapan “insiden sedemikian tidak akan berulang ke atas pekerja dalam sektor perkhidmatan.”

Kejadian itu menimbulkan kemarahan ramai, dengan agensi berita Yonhap memetik pegawai Kementerian Luar menggesa Kedutaan Belgium memberi kerjasama kepada polis.

Duta Peter Lescouhier “sangat kesal dengan insiden membabitkan isterinya”, kata kedutaan itu dalam catatan Facebook sambil menambah beliau “mahu memohon maaf bagi pihak isterinya”.

“Tidak kira apa jua keadaannya, tindak balasnya tidak boleh diterima.”

Laporan media menamakan wanita itu sebagai Xiang Xueqiu.

Kedutaan Belgium berkata, sebagai isteri kepada duta, wanita itu mempunyai kekebalan diplomatik dan beliau akan bekerjasama dengan polis.

Tetapi, katanya, wanita itu tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat strok dan masih dirawat.

“Kami berharap kesihatannya bertambah baik secepat mungkin supaya beliau boleh membantu siasatan polis.”