Kuala Lumpur: Isteri kepada pelakon dan pengacara, Fizo Omar iaitu Fazeera Nazri selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada petang semalam.
Khabar gembira itu dikongsikan Fizo, 40, menerusi satu hantaran di Instagram, memaklumkan bayi mereka dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di Bangi pada jam 5.19 petang semalam.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Isteri saya selamat bersalin secara normal di Andorra Hospital bersama Dr Kamsiah Muda. Bayi lelaki kami seberat 3.52 kilogram,” tulisnya.
Fizo turut meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi diberikan peluang menyambut sendiri kelahiran anaknya.
“Masya-Allah, satu perasaan yang amat sukar saya gambarkan. Campuran rasa teruja, sedih, hiba dan bangga saat melihat zuriat kami dilahirkan. Detik yang sangat berharga buat saya sebagai ayah,” tulisnya.
Fizo turut menyatakan bahawa anak keempat mereka ini melengkapkan lagi keluarga kecil mereka yang kini dikurniakan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.
“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah. Setiap anak membawa bersamanya rezeki dan kebahagiaan yang melimpah ruah,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Fizo tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada isterinya yang dianggap sebagai wanita hebat kerana mampu menguruskan keluarga dalam keadaan hamil, selain sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Semoga doa kalian terus mengiringi kami, membawa keberkatan dalam rumah tangga ini serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. Ameen Ya Rabbal ‘Alamin,” tulisnya.
Fizo turut berkongsi foto isteri serta bayinya selepas dilahirkan, namun belum mendedahkan wajah bayi lelaki itu.
Terdahulu, Fizo pernah berumah tangga dengan Mawar Abdul Karim pada 10 November 2013 sebelum disahkan bercerai pada 10 Julai 2019. Fizo kemudiannya berkahwin dengan Fazeera pada Oktober 2021.
Daripada kedua-dua perkahwinan itu, Fizo dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wan Mariam, 8, Wan Khaleeda, 3, dan Wan Umaira, 2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




