mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isteri penyanyi Sheqal iaitu Normah Mohd Yusoff, 58, mengharapkan kedua-dua anak suaminya bersama bekas isteri, penyanyi dan pelakon, Raja Ema agar menziarah bapa mereka ketika hayatnya masih ada.
Normah ketika dihubungi berkata, sejak berkahwin dengan penyanyi itu 25 tahun lalu, dia tidak pernah melihat mereka bertemu antara satu sama lain di mana-mana lokasi.
“Saya harap sangat. Manalah tahu ini kali terakhir abang Sheqal jumpa mereka. Saya tengok tiada perubahan pada abang setakat ini.
“Kita tak tahu apa yang akan berlaku. Paru-parunya dah penuh air sekarang sedangkan sebelum ini doktor dah keluarkan.
“Ada kemungkinan doktor nak tebuk lagi untuk buang air. Bila doktor cakap begitu saya jadi ‘down’. Saya harap sangat dapat jumpakan mereka,” katanya kepada Harian Metro sambil menangis.
Menurutnya, dalam situasi Sheqal sedang ditidurkan, dia bercakap dengan suaminya itu bahawa akan menemukan dia dengan anak-anaknya itu.
“Tapi rasanya berat nak realisasikan perkara ini. Keadaan terkini abang Sheqal nampaknya macam tiada perubahan.
“Dia tiada demam kerana dah okey. Tekanan darah pun baik. Bacaan oksigen pun kadang-kadang 98, 99 dan 100. Itu tandanya normal.
“Cuma sekarang buah pinggang dah mula buat dialisis kerana bacaan kreatinin meningkat kepada 400 lebih daripada 200 lebih,” katanya.
Normah berkata, doktor tidak mahu membuang masa apabila segera melakukan dialisis.
Katanya, Sheqal masih dalam pemantauan doktor sejak dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Khamis lalu.
“Saya tanya doktor berapa hari abang Sheqal akan ditidurkan dan doktor kata mungkin lima atau enam hari bergantung kepada kesihatannya.
“Dia tiada demam. Ujian CT Scan pun dah buat dan tiada apa-apa dikesan seperti darah atau nanah. Doktor tak jumpa apa-apa,” katanya.
Normah berkata, dia tetap tenang menjalani kehidupan walaupun sedih dengan apa yang berlaku kepada suaminya.
“Saya kena menyerap tekanan di sebalik apa yang berlaku. Apa yang datang itu kita anggap ujian kasih sayang daripada Allah.
“Mudah-mudahan abang Sheqal kembali pulih. Sekarang ini fokus saya hanya kepada dia. Tak boleh buat apa lagi,” katanya.
Menerusi perkahwinan dengan Raja Ema, Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah.
Manakala, perkahwinan dengan Norma dikurniakan sepasang anak iaitu Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani, 20.
© New Straits Times Press (M) Bhd