am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Seorang wanita cedera pada bahu, tangan dan dahi selepas dikatakan digigit suami yang dipercayai dalam keadaan mabuk, di sebuah rumah di Taman Wira Jaya, di sini, pagi Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan di daerah ini, tengah hari tadi.
“Kira-kira jam 3.20 pagi Selasa lalu, berlaku satu kes mendatangkan cedera tanpa menggunakan senjata iaitu kes keganasan rumah tangga di sebuah rumah di Taman Wira Jaya.
“Ketika mangsa berada di bilik tidurnya, lelaki berkenaan pulang dalam keadaan mabuk dan bertindak memukul pengadu menggunakan tangan dan menggigit mangsa di bahagian bahu, tangan dan dahi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, akibatnya mangsa mendapat kecederaan di bahagian gigitan dan dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk mendapat rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi, suspek yang juga suami pengadu berumur 32 tahun berjaya ditangkap di sebuah kedai serbaneka di Pekan Kuala Pilah,” katanya.
Tambah beliau, ujian saringan urin terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd