London: Balu Diogo Jota dilapor bakal mewarisi harta sehingga £35 juta (RM201 juta) selepas kematian tragis penyerang Liverpool itu akibat nahas jalan raya pada awal pagi Khamis lalu di Sepanyol.
Jota dan adiknya, Andre Silva yang turut maut dikebumikan di bandar kelahiran mereka, Gondomar, Portugal, Sabtu lalu yang dihadiri ramai bekas rakan sepasukan termasuk Arne Slot dan skuad Liverpool.
Laporan dari Portugal menyatakan Liverpool menawarkan untuk terus membayar keluarga Jota yang sedang berkabung baki dua tahun terakhir kontraknya.
Namun, keluarga terdekatnya bukan sahaja akan menerima pampasan kewangan, malah turut mewarisi legasi luar biasa yang ditinggalkan oleh pemain berusia 28 tahun itu.
Menurut MailOnline, pasangan Jota, Rute Cardoso yang dikahwininya hanya 11 hari sebelum kemalangan maut itu, dijangka akan mewarisi kekayaan luar biasa yang memberi jaminan kewangan kepada Rute dan tiga anak mereka Dinis, Duarte dan Mafalda.
Jota digambarkan ‘mengumpul kekayaan’ sepanjang karier bola sepaknya dengan memperoleh £3,952,000 semasa bersama Wolves sebelum menyertai Liverpool dengan kontrak empat tahun.
Dalam dua tahun pertama di Anfield, beliau menjana £8,632,000, sebelum menandatangani kontrak baharu bernilai £140,000 seminggu.
Kontrak baharu itu menyaksikan beliau memperoleh £21,840,000, dan dijangka bakal menerima tambahan £14.5 juta (RM83 juta) untuk baki dua tahun kontrak.
Jika benar laporan yang menyatakan Liverpool akan membayar kontrak itu sepenuhnya, jumlah pendapatannya dalam Liga Perdana Inggeris akan mencecah £34.4 juta (RM198 juta) tidak termasuk pendapatan daripada penajaan dan penglibatannya dalam dunia Esukan (eSports).
Masih tidak jelas berapa banyak daripada jumlah itu telah dibelanjakan sebelum pemergiannya, namun Jota dan isterinya diketahui membeli rumah lima bilik tidur di utara Liverpool pada Mei 2022 bernilai £2,125,000.
Jota juga dikatakan berminat dalam dunia kereta mewah, dengan laporan menyebut beliau memiliki koleksi termasuk Porsche 911 Turbo S, Ferrari 488, Audi Q7 dan Mercedes-Benz G63 AMG.
Penyerang berbakat itu membina legasi luar biasa dalam dunia bola sepak, dan menerima pujian meluas sejak pemergiannya yang mengejutkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd