SOALAN:
Saya merupakan isteri kedua dan mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan dengan suami saya sekarang. Suami pula mempunyai tiga orang anak lelaki bersama isteri pertama. Apa yang merisaukan saya, rumah yang kami duduki sekarang dan kereta semuanya atas nama suami. Saya juga risau jika anak-anak dan isteri pertama menuntut semua harta dan saya hilang tempat tinggal. Apakah yang patut dilakukan oleh suami semasa masih hidup untuk melindungi masa depan saya dan anak perempuan kami?
JAWAPAN:
Banyak kes berlaku sebelum ini. Suami baru sahaja meninggal dunia. Belum pun seminggu berlalu, rumah yang didiami selama bertahun-tahun mula menjadi bahan perbincangan waris. Akaun bank dibekukan, kereta tidak lagi boleh diperbaharui cukai jalannya, manakala si isteri pula mula dihantui pelbagai persoalan tentang masa depan dirinya dan anak perempuan yang masih bergantung harap kepadanya. Lebih meresahkan apabila timbul kebimbangan bahawa rumah yang menjadi tempat berteduh selama ini mungkin akhirnya menjadi pertikaian antara waris.
Situasi seperti ini bukan lagi sesuatu yang asing dalam masyarakat, khususnya melibatkan keluarga yang berpoligami. Ramai wanita sebenarnya hidup dalam kebimbangan, namun memilih untuk memendam rasa kerana takut dianggap terlalu memikirkan soal harta.
Merujuk kepada persoalan puan, kebimbangan yang dirasai sebenarnya sangat berasas dan tidak boleh dipandang ringan memandangkan puan merupakan isteri kedua yang tinggal di rumah milik suami dan menggunakan kereta atas nama suami serta bergantung kepada kewangan suami. Lebih merumitkan keadaan apabila puan hanya memilik anak perempuan tunggal, sementara isteri pertama suami pula mempunyai tiga orang anak lelaki.
Berdasarkan hukum faraid, puan selaku isiteri kedua akan menerima 1/16 bahagian, manakala anak perempuan puan menerima satu bahagian berbanding anak lelaki menerima dua bahagian, Maka sudah tentu puan mempunyai kebimbangan terhadap masa depan anak tunggal puan sekiranya suami meninggal dunia. Lebih menyedihkan, terdapat kes di mana seorang isteri akhirnya terpaksa melepaskan rumah yang didiami selama ini kerana harta tersebut perlu dijual bagi tujuan pembahagian pusaka kepada waris-waris yang berhak.
Dalam keadaan ini, rumah yang puan diami dan kereta yang digunakan bukanlah secara automatik menjadi milik puan walaupun telah lama digunakan sepanjang perkahwinan. Selagi harta tersebut masih didaftarkan atas nama suami, kesemua anak-anak serta isteri pertama tetap mempunyai hak sebagai waris yang sah di sisi syarak.
Persoalannya, adakah puan dan suami sanggup melihat anak tunggal membesar dalam konflik perebutan harta dan terpaksa menumpang ihsan orang lain setelah suami meninggal dunia.
Perancangan harta bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak yang wajar diberi perhatian serius.
Solusi terbaik
Justeru, solusi terbaik bagi mengatasi masalah ini yang boleh dipertimbangkan oleh suami ialah hibah harta. Hibah bermaksud hadiah dan merupakan suatu bentuk pemberian harta yang dibuat oleh pemilik harta kepada penerima baru secara sukarela semasa hayatnya. Harta yang telah dihibahkan dengan sempurna serta mematuhi rukun hibah dan keperluan undang-undang, tidak lagi tertakluk kepada hukum faraid.
Jika suami mahu memastikan puan dan anak terus mempunyai tempat tinggal terjamin, beliau boleh menghibahkan rumah itu kepada puan dan anak ketika hayatnya. Langkah itu dapat melindungi kebajikan keluarga serta mengurangkan risiko pertikaian waris kerana harta dihibahkan tidak lagi menjadi pusaka si mati.
Pemberian hibah perlu dilaksanakan dengan betul dan bukan sekadar berdasarkan niat atau lafaz lisan semata-mata. Dalam realiti perundangan, dokumentasi serta proses hibah yang sah amat penting bagi memastikan hibah tersebut benar-benar terlaksana dan tidak dicabar oleh waris pada masa hadapan.
Selain hibah mutlak, suami puan juga boleh mempertimbangkan pemberian hibah secara bersyarat di mana rumah yang puan tinggal bersama keluarga itu hanya akan berpindah milik kepada puan dan anak setelah pemilik harta atau suami puan meninggal dunia. Ini merupakan solusi terbaik bagi menjaga kebajikan pemilik asal semasa hayatnya serta waris tersayang yang ditinggalkan setelah pemilik meninggal dunia.
Selain hibah, suami juga disarankan menyediakan dokumen pelantikan wasi atau pentadbir harta serta dokumen wasiat bagi memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan harta pusaka dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar selepas berlaku kematian.
Bagi keluarga yang mengamalkan poligami, pelantikan wasi atau pentadbir harta amat penting untuk memastikan urusan pusaka dapat diuruskan dengan lebih teratur selepas kematian. Tanpa pentadbir, pelbagai kesulitan boleh timbul terutama melibatkan urusan rumah, akaun bank, kenderaan serta proses pentadbiran harta di pejabat tanah.
Dalam banyak kes, kelewatan tuntutan pusaka sering berlaku akibat pertikaian waris mengenai pentadbiran harta si mati. Justeru, suami puan disaran melantik individu dipercayai dan berkemampuan untuk menguruskan pusaka secara adil serta teratur ketika hayatnya.
Suami puan juga boleh mempertimbangkan pelan hibah takaful bagi melindungi kewangan isteri dan anak-anak. Melaluinya, manfaat takaful dapat disalurkan terus kepada penerima hibah supaya keluarga mempunyai dana segera sementara urusan pusaka masih dalam proses.
Ramai keluarga berdepan kesukaran bukan kerana tiada harta, tetapi akibat harta pusaka terbeku selepas kematian. Akaun bank tidak boleh diakses, rumah tidak dapat dipindah milik dan proses tuntutan pula mengambil masa panjang.
Di Malaysia, lebih RM90 bilion harta pusaka masih tidak dituntut kerana kurang perancangan semasa hidup, sekali gus memberi kesan besar kepada isteri dan anak-anak dari sudut emosi serta kewangan.
Apa yang paling utama dalam isu seperti ini ialah keberanian untuk berbincang secara terbuka semasa masih hidup. Jangan jadikan perancangan harta sebagai topik sensitif atau dianggap seperti mendoakan kematian. Hakikatnya, perancangan harta ialah tanda tanggungjawab seorang suami terhadap keluarga yang bakal ditinggalkan.
Sebaiknya, suami puan membuat perancangan harta semasa masih hidup daripada membiarkan isteri serta anak-anak berdepan konflik selepas kematiannya. Jangan tunggu sehingga berlaku kematian baru mahu berbincang tentang hibah, faraid dan urusan pusaka kerana ketika itu segalanya mungkin sudah terlambat. Perlu difahami bahawa faraid menentukan siapa yang berhak menerima harta pusaka, manakala perancangan harta semasa hidup menjadi langkah penting bagi melindungi kebajikan insan yang paling disayangi.
Dalam banyak keadaan, bukan isteri kedua yang tamak atau anak-anak keluarga pertama yang zalim. Sebaliknya, punca sebenar pergaduhan berlaku kerana si mati gagal membuat perancangan sejak awal. Rumah boleh dibina dengan wang, tetapi ketenangan keluarga selepas kematian hanya boleh dibina dengan perancangan. Jangan biarkan kematian seorang suami menjadi permulaan penderitaan seorang isteri dan anak.
*Dr Anne Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd Ikon Perancangan Harta & Pengurusan Pusaka Malaysia



