Isteri 'kiriman' Tuhan, sanggup derita demi suami

Isteri 'kiriman' Tuhan, sanggup derita demi suami

am@hmetro.com.my

Seremban: Diuji dengan suami yang sakit, wanita ini menjadi tulang belakang kepada keluarga sejak 2022 dengan berniaga dan menjual pelbagai makanan serta barang.

Malah dalam tempoh itu juga, wanita ini bertahan dengan pandangan masyarakat, kepenatan dan emosi tidak menentu.

Namun memikirkan suami di sisi yang sudah 15 tahun hidup bersama dengan empat anak, Nurul Ain Jariah Mohd Aripin, 34, menguatkan semangat untuk terus menempuh dugaan.

“Pada awal 2022, suami yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami kemalangan di tempat kerja ketika mengangkat barang. Kami mendapatkan rawatan dan doktor menasihatkan supaya dia tidak bekerja sementara untuk sembuh.

“Suami mengalami spondylosis, sacroiliac joint pain, piriformis syndrome, prolapsed intervertebral disc dan facet syndrome yang mana semuanya berkaitan tulang belakang.

“Dia tidak boleh memandu, angkat barang berat dan bekerja berat. Tetapi di rumah, dia masih buat kerja rumah, saya hanya fokus kepada kerja saya di luar,” katanya.

Nurul Ain Jariah berkata, sejak dari kejadian, kehidupannya sekeluarga berubah 360 darjah yang mana dia berdepan dengan jatuh bangun berniaga dan pelbagai tekanan.

“Macam-macam saya jual demi untuk tampung kehidupan kami. Bayaran bulanan sewa rumah RM1,000, ansuran kereta lagi, malah kami perlu berulang-alik ke ibu negara untuk rawatan suami.

“Saya pernah jual nasi lemak dan roti canai di tepi jalan, pernah juga buka warung dan meniaga melalui atas talian. Dalam masa sama saya buat katering secara kecil-kecilan,” katanya.

Jelasnya, pada Julai lalu, dia mula berniaga oden di tepi jalan dekat Matahari Heights, namun selepas lapan hari beroperasi, dia diberikan notis oleh pihak berkuasa tempatan.

“Hampir dua bulan saya tidak berniaga kerana tidak dibenarkan menjaja di kawasan itu. Wang simpanan mulai susut, jadi saya nekad meniaga juga di tapak sama.

“Saya dimaklumkan MBS (Majlis Bandaraya Seremban) akan tempatkan saya di kawasan penjaja di kawasan lain, namun sehingga sekarang belum ada jawapan. Tetapi buat masa ini MBS tidak ambil tindakan lagi selepas saya meniaga semula,” katanya.

“Dengan keadaan suami tidak mampu bekerja, ada yang berpandangan serong terhadap kami,” katanya.

Jelasnya, bagi faedah pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) permohonannya masih belum diluluskan manakala bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), permohonan baru dibuat selepas suami mendapat kad OKU.

Menceritakan kekuatannya untuk terus bertahan, Nurul Ain berkata, sebagai wanita dia sendiri tidak kuat dari segi kudrat dan emosi.

“Selepas suami tidak boleh bekerja, dia jadi sensitif mungkin kerana dia fikir tidak mampu untuk sara keluarga. Di rumah saya kena jaga perasaan suami, di luar pula saya membanting tulang.

“Sudah 15 tahun kami bersama, saya tidak akan sesekali tinggalkan suami ketika dia sakit malah anak-anak juga sangat memahami. Anak pertama dan kedua selalu bergilir-gilir membantu ketika berniaga,” katanya.

Jelasnya lagi, dia kini fokus untuk mengumpul wang bagi mendapatkan kenderaan saji bagi memudahkannya berniaga secara ‘halal’ dan tidak perlu bersusah membuka dan menyimpan peralatan berniaga.

Orang ramai yang ingin memberi sokongan kepada perniagaan Oden Si Manja boleh hubunginya di talian 0189520664.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top