am@hmetro.com.my
Beluran: Wanita ditemukan rentung, manakala suaminya melecur dalam kebakaran membabitkan kedai runcit di Kampung Nangoh, Telupid, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 11.20 pagi, mangsa Lim Bee Chiew, 58, maut dipercayai akibat terperangkap manakala suaminya, Chee Kiong, 60, yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.23 pagi.
Katanya, seramai lima anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 77 kilometer dari balai bomba.
“Kebakaran membabitkan sebuah kedai runcit dan simpanan tong minyak kapasiti 200 liter dan tong gas petroleum cecair (LPG) jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.
“Turut terbakar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, terdapat dua mangsa terbabit, seorang mangsa lelaki cedera dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa wanita meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Isu kekangan talian telefon antara menjadi cabaran kepada pasukan operasi untuk tiba di lokasi kebakaran lebih awal.
“Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.53 tengah hari
© New Straits Times Press (M) Bhd