Kuala Lumpur: Isteri kepada pelawak sensasi, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh selamat melahirkan anak sulung menerusi perkahwinan mereka pada November 2023.
Fara menerusi media sosial memaklumkan menamakan bayi yang dilahirkan pada 26 Jun itu, Elaine Nada.
Namun kelahiran puterinya agak tragis kerana tanpa kehadiran suaminya, Shuk.
“Saya sudah selamat bersalin pada 26 Jun, pada jam 6.10 petang dengan berat anak 2.1 kilogram.
“Alhamdulillah, keluarlah Elaine Nada dengan cara pembedahan ‘caesarean’. Tetapi, kami berdua tidak dapat bersama sebab ‘baby’ terus masuk wad sebab air ketumban berkuman.
“Masuk antibiotik selepas itu ditahan lebih kurang lima hari. Sama juga dengan ‘baby’,” tulisnya.
Fara berkata, dia bersyukur dapat melalui cabaran dan dugaan sehingga berjaya melahirkan bayinya.
“Alhamdulillah, Elaine Nada nama seindah orangnya. Alhamdulillah. saya dan Elaine Nada berjaya lalui fasa mengandung seorang, melahirkan anak seorang tanpa ada bayang seorang lelaki. Doakan semoga Elaine Nada membesar dengan sihat,” katanya.
Fara turut menceritakan detik awal kelahiran anaknya, apabila dia datang ke hospital dua hari lebih awal dan ditahan di wad kerana air ketuban mula berkurangan dan berat badan bayi kurang disebabkan masalah uri.
“Cucuk epidural, sakit sangat, siapa cakap epidural ‘cheatcode’. Doktor rancang untuk ’emergency caesarean’ sebab baby sudah hendak lemas. “Hendak pembedahan ‘caesarean’ saya pula demam panas sebab dua hari dah tahan sakit. Akhirnya kena bedah juga,” katanya.
Terdahulu, April lalu, Fara berkongsi rakaman video di Instagramnya dengan mendakwa Shuk melafazkan cerai talak satu terhadapnya menerusi panggilan telefon ketika berada di Thailand.
Kemelut rumah tangga mereka tercetus sebelum mereka mengerjakan ibadat umrah, Ogos tahun lalu.Â
Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015. Namun, mereka bercerai pada 22 Mac, tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi.
Dalam pada itu, Shuk menerusi Insta Story melahirkan perasaan bengang apabila ibu bapanya menjadi mangsa ‘amukan’ Fara susulan tindakan Shuk tidak menjenguk anak mereka yang baru sahaja dilahirkan Dakwaan Fara Salleh berkenaan dirinya sehingga ‘memetik’ nama ibu bapa di media sosial membuatkan Shuk marah dan tidak mahu Fara mengaitkan orang tuanya dalam permasalahan mereka.
Dia turut menyertakan beberapa tangkapan layar bukti bahawa setiap bulan dia memasukkan sejumlah wang ke akaun isterinya serta duit untuk urusan bersalin wanita itu.
Ia bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan Fara Salleh yang mendakwa Shuk tidak mengeluarkan sebarang wang sepanjang kehamilannya.
Menurutnya, tindakan mendiamkan diri bukan kerana dia takut tetapi enggan melayan drama yang dicipta wanita itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd