am@hmetro.com.my
Setiu: “Saya sempat melihat kelibat ayah tiri di kawasan rumah sebelum api marak di bahagian ruang tamu,” kata anak lelaki kepada suspek warga emas yang berusia 79 tahun yang disyaki membakar rumah isteri keduanya di sini, dalam kejadian awal pagi semalam.
Lelaki berusia 26 itu berkata ketika kejadian dia berada berseorangan di rumah dan keluar bilik untuk mengunci pintu rumah pada jam 1 pagi.
Menurutnya, ibunya yang berusia 65 tahun tiada di rumah tersebut sebaliknya bermalam di rumah seorang lagi anak yang terletak bersebelahan.
“Ketika kejadian itu, saya sempat lihat ayah tiri cuba melarikan diri namun hanya mampu menjerit tidak dapat mengejarnya kerana api sedang marak.
“Saya mendapatkan bantuan daripada abang yang tinggal bersebelahan rumah sebelum bomba tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, tiga lagi saudaranya turut mengejar bapa tirinya itu namun gagal kerana dia melarikan diri menggunakan kereta.
“Ada juga beberapa penduduk kampung melihat kereta dia diparkir tidak jauh dari kawasan rumah kami,” katanya.
Sementara itu, isteri suspek berkata dia mengetahui kejadian itu jam 1.15 pagi selepas dimaklumkan anak bongsunya.
“Kebetulan ketika itu saya bermalam di rumah anak yang berada di sebelah rumah ini hanya seorang anak tinggal di rumah itu.
“Saya tidak sangka suami sanggup bertindak sedemikian disebabkan berlaku salah faham antara kami yang berlarutan sejak bulan lalu,” katanya.
Katanya, mereka sudah berkahwin sejak 25 tahun dan suaminya berulang alik dari rumahnya di Kuala Terengganu ke Setiu.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohammad Sapawi, berkata mereka berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran terbabit dalam masa 30 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd