redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuantan: “Bila kami keluar jalan berdua, memang ramai ingat isteri emak atau mak cik saya dan rata-ratanya terkejut apabila tahu hal sebenar.
“Itu perkara biasa kami lalui sejak berkahwin, tapi saya tak pernah malu kerana apa pun, dia isteri saya dan sangat sayangkannya.”
Itu kata Mohamad Nazir Annuar Mohamad Kazri, 29, ketika berkongsi pengalaman berkahwin dengan Salmah Jaya, 61, yang sebelum itu berstatus ibu tunggal kepada tujuh anak selepas kematian suami.
Kisah pasangan itu mendapat perhatian selepas Mohamad Nazir Annuar berkongsi video yang menunjukkan kemesraan dan isteri hingga ada segelintir tidak percaya serta beranggapan mereka berdua sebenarnya anak beranak.
Berkongsi hal sebenar, Mohamad Nazir Annuar berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 16 April 2022 serta mendapat restu kedua-dua keluarga.
Menurut Mohamad Nazir Annuar, dia memang lebih tertarik dengan wanita lebih berusia jadi bersyukur kerana ditakdirkan bertemu jodoh dengan isteri.
Bagaimanapun, anak kedua daripada tujuh beradik itu mengakui bukan mudah untuk memikat isteri yang tidak melayannya pada awal perkenalan.
“Saya mula stalk, follow dan cuba add isteri di Facebook (FB) sejak 2018 sebab dia nampak comel dan daripada awal memang tahu dia wanita berusia.
“Tapi sebab nak kenal, saya cuba juga dan lama nak tunggu dia terima permintaan saya…isteri pun tak layan saya pada awalnya sampai kecewa.
“Bukan senang nak ‘mengorat’ isteri kerana selepas dapat nombor telefon pun, saya disekat sampai bertukar nombor telefon untuk cuba hubunginya. Tapi akhirnya isteri sudi berkawan dan pertemuan pertama kami pada 2021 di rumah didiaminya dengan anak,” katanya.
Selepas pertemuan itu, Mohamad Nazir Annuar dan Salmah mula berkawan rapat serta boleh serasi kerana berkongsi minat sama iaitu warna merah selain gemar dalam bab mistik.
Lama kelamaan, timbul perasaan sayang di antara mereka hingga sepakat berkahwin selepas setahun berkenalan.
“Keluarga saya tiada masalah sebab semua tahu minat saya cuma anak tiri tak boleh terima pada awalnya kerana usia saya muda.
“Tapi mereka akhirnya lembut hati untuk terima dan paling terharu apabila isteri pun ajak kahwin bagi menghalalkan hubungan.
“Awal perkahwinan kekok juga dan paling tak dapat lupa waktu bermaafan di pagi raya tapi lama kelamaan okay. Cuma isteri berpengalaman jadi dia pernah tegur misalnya bab memasak dan ada masa ‘melantun’ juga mungkin sebab saya suami tapi kini, kami semakin boleh bertolak ansur,” katanya yang bekerja sebagai kru katering di pelantar minyak.
Di sebalik kemanisan dalam perhubungan, Mohamad Nazir Annuar tidak menafikan ada segelintir yang mempersoalkan pilihannya berkahwin dengan isteri termasuk selepas berkongsi di media sosial baru-baru ini.
“Tapi saya tak endahkan kerana bagi saya, perkahwinan kami adalah ketentuan-Nya. Jadi tak ada isu pun kerana sejak awal sudah sedia maklum dengan siapa saya berkahwin.
“Soal anak pun bukan masalah kerana tahun pertama kahwin, isteri hamil cuma tak ada rezeki kami selepas dia keguguran.
“Jadi tak ada apa yang saya harap dan doa melainkan dapat jadi suami lebih baik juga kebahagiaan dalam perkahwinan kami,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Salmah berkata, dia tidak pernah terfikir berkahwin lagi selepas kematian suami akibat serangan jantung pada 2016 kerana selesa hidup sendiri.
Disebabkan itu, Salmah berat hati menerima kehadiran lelaki baru dalam hidupnya termasuk suami yang jauh lebih muda.
“Waktu dalam tempoh iddah pun, sudah ada lelaki datang nak berkenalan, kebanyakannya umur 30 hingga 40 an tapi saya tak terima ketika itu kerana fikir sudah tak nak kahwin.
“Suami pun umurnya lebih kurang anak jadi berat nak terima awalnya tapi yang buat saya lembut hati bila tengok kesungguhan suami yang sanggup redah motosikal dalam banjir untuk jumpa saya.
“Anak mulanya susah nak terima dan saya pun tak pernah pujuk tapi mereka akhirnya akur kerana enggan saya menangis sebab tak bahagia.
“Pernah juga tanya suami, tak malu ke jalan dengan saya dan katanya tiada apa nak dimalukan. Sebagai wanita, saya bersyukur dapat pasangan sepertinya dan berdoa semoga jodoh kami berpanjangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd