Istimewanya iftar Ramadan 'satu kampung' di padang sekolah Felda

Istimewanya iftar Ramadan 'satu kampung' di padang sekolah Felda

am@hmetro.com.my

Jempol: Bertukar juadah makanan dan berbuka puasa beramai-ramai di padang sekolah membabitkan penyertaan guru, pelajar dan ibu bapa.

Itu antara momen indah dirasai lebih 300 komuniti FELDA Pasoh Dua di sini, yang memeriahkan program iftar Ramadan di lokasi terbuka semalam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pasoh Dua Norizwan Abas berkata, program julung kali ini anjuran pihak sekolah itu turut disertai pelbagai persatuan yang ada di tanah rancangan itu.

Katanya seramai 300 menghadiri iftar membabitkan penyertaan ibu bapa, guru, murid, belia, kakitangan FELDA, alumni sekolah dan peneroka.

” Paling seronok apabila semua duduk beralaskan tikar di padang sekolah sebelum bertukar-tukar juadah yang dibawa dari rumah.

“Kami mahu mengeratkan hubungan dengan komuniti yang ada membabitkan pihak sekolah dan PIBG,”katanya.

Hadir sama Guru Besar Hazni Mohamad; Pengurus FELDA Pasoh Dua Mohd Halim Mohd Yusoff@Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mohd Azlan Ismail.

Norizwan berkata, program ini di rancang sebelum Ramadan namun tidak menyangka akan mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat.

Katanya, bukan mudah untuk penduduk berkumpul beramai-ramai sebegini dan ini masa terbaik untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai sekolah.

“Kami bercadang menjadi program ini sebagai acara tahunan dan berharap ia akan terus mendapat sokongan dan sambutan,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top