Assalammualaikum WBT kepada Sahibus Samahah Datuk Mufti. Semoga senantiasa diberi kesihatan yang terbaik.
Saya ada persoalan tentang ibadat. Bagaimanakah kedudukan taubat seseorang apabila seseorang itu sering melakukan ibadat, ibadah wajib seperti solat tidak tinggal namun dalam masa sama dia masih melakukan dosa seperti maksiat, melihat perkara yang tidak elok dan sebagainya.
Apakah itu tanda ibadahnya tidak diterima? Apakah jalan terbaik dan nasihat Sahibus Samahah.
Terima Kasih
Johari
Jawapan:
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada saudara Johari di atas persoalan yang dikemukakan.
Pertama sekali kita perlu memahami taubat ialah pintu rahmat daripada Allah yang sentiasa terbuka untuk hamba-Nya. Firman Allah:
“Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Zumar: 53)
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beroleh kejayaan.”
(Surah an-Nur: 31)
Namun, taubat mempunyai tiga syarat utama yang mesti dipenuhi agar ia diterima oleh Allah SWT:
l Meninggalkan dosa yang dilakukan dengan serta merta
l Menyesal dengan sebenar-benarnya atas perbuatan dosa itu.
l Berazam untuk tidak mengulangi dosa tersebut.
Jika dosa melibatkan hak manusia, ditambah satu syarat lagi iaitu memulangkan hak yang telah diambil atau meminta maaf di atas kesalahan yang dilakukan.
Sebahagian ulama menambah satu lagi syarat penting, iaitu syarat umum bagi ibadah yang dilakukan manusia iaitu taubat berkenaan mestilah ikhlas kerana Allah SWT.
Sesiapa yang bertaubat, tetapi tidak ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, dosanya tidak akan diampunkan dan dia dianggap belum lagi bertaubat.
Apabila seseorang masih melakukan dosa walaupun telah bertaubat, ini menandakan taubatnya belum sempurna, bukan bermakna semua ibadahnya tertolak. Allah Maha Pemurah, setiap amalan baik tetap mendapat ganjaran, tetapi dosa yang dilakukan tetap memerlukan taubat yang baru. Ibarat pakaian yang dicuci setiap hari, tetapi masih terkena kotoran kerana kita berjalan di jalan yang berlumpur, maka selagi kita tidak mengubah jalan yang dilalui, selagi itulah pakaian akan kotor kembali.
Mengapa masih jatuh dalam dosa walaupun rajin beribadah?
l Nafsu belum dididik sepenuhnya.
l Lingkungan dan pengaruh persekitaran yang tidak baik.
l Syaitan sentiasa menggoda dan mencari kelemahan manusia
Oleh yang demikian, kaedah terbaik untuk melakukan perubahan ialah:
l Perbaharui taubat setiap kali melakukan maksiat. Jangan berputus asa walaupun berulang dosa
l Cari punca dosa dan jauhi laluan ke arahnya. Contohnya, jika dosa bermula daripada penglihatan, maka hendaklah merendahkan pandangan mata dan kurangkan akses kepada sumber maksiat.
l Perbanyakkan zikir dan doa, khususnya doa:
“Ya Muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala dinik” (Wahai Allah yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu).
l Bersahabat dengan orang soleh yang boleh menasihati dan mengingatkan.
l Imarahkan hati dengan al-Quran. Baca al Quran dengan bertadabbur agar dapat melembutkan hati serta melemahkan dorongan maksiat.
Kesimpulannya, dosa berulang tidak semestinya menandakan ibadah kita tidak diterima, tetapi ia tanda bahawa hati masih memerlukan rawatan. Teruskan beribadah, jangan berhenti daripada taubat, dan berusaha menutup semua pintu yang membawa kepada dosa.
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang istiqamah dalam kebaikan dan menjauhkan kita daripada jalan maksiat.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd