Kuala Lumpur: Isu pendaftaran 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra di Puchong untuk menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025 sudah selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dalam kenyataan bersama malam ini berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengadakan beberapa sesi semakan dan perbincangan bersama pihak sekolah berkenaan.
Ini bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh dapat dicapai tanpa menjejaskan hak pelajar.
“Hasil perbincangan bersama, pihak JAIS bersetuju memberikan kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025, dengan beberapa penyelarasan.
“JAIS akan mendaftarkan kesemua murid untuk Sistem Pendaftaran Calon UPKK; semua murid akan mengambil peperiksaan di pusat peperiksaan yang berdaftar (sekolah tumpang); dan peperiksaan lisan untuk tiga mata pelajaran yang sudah selesai akan diaturkan selepas peperiksaan bertulis,” katanya.
Kenyataan itu berkata, keputusan berkenaan dicapai hasil arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya JAKIM dan JAIS bekerjasama dengan mengambil kira kepentingan pelajar, ibu bapa dan masa depan pendidikan Islam mereka.
“Pihak sekolah juga memberikan komitmen untuk mengambil langkah segera bagi melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut garis panduan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988, dengan bimbingan JAIS.
“Dengan keputusan ini, semua 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari akan dapat menduduki UPKK Tahun 2025 seperti calon lain di seluruh negara.
“JAKIM dan JAIS akan terus memantau pelaksanaannya agar berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan pihak sekolah atas kesabaran serta kerjasama yang baik sepanjang proses ini berlangsung.
“Namun, kerajaan menegaskan bahawa mana-mana sekolah atau institusi pendidikan Islam yang masih beroperasi tanpa pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri akan dikenakan tindakan tegas.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap isu pematuhan peraturan dan keselamatan murid, kerana ia membabitkan kredibiliti sistem pendidikan Islam dan pendirian integriti kita sebagai umat beragama Islam.
“Diharapkan semua pihak dapat menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk memperkukuh kepatuhan terhadap garis panduan pendaftaran institusi pendidikan Islam di masa hadapan,” katanya.
Kenyataan itu berkata, kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan Islam negara melalui pendekatan ‘Pendidikan Islam MADANI’ berteraskan prinsip ilmu, adab dan tadbir urus yang berintegriti demi manfaat anak-anak generasi akan datang.
Berita berkaitan
• Kerajaan negeri arah JAIS segerakan penempatan 80 murid agar tidak tercicir UPKK
• 80 murid tercicir UPKK: ‘Anak sulung dah di universiti, ambil UPKK di sekolah sama’
• JAIS sudah beri peringatan untuk mohon pendaftaran, tetapi sekolah tak buat
• Remuk hati ibu anak tak dapat ambil UPKK
• Sekolah dinasihat pindahkan 80 murid ke sekolah berdaftar sebagai calon menumpang UPKK – JAKIM
• 80 murid KAFA gagal duduki UPKK 2025: Sekolah didakwa tak berdaftar dengan JAIS
© New Straits Times Press (M) Bhd




