Isu Adab Dengan Al-Quran, Ryzal Ibrahim Mohon Maaf – “Tak Sengaja Letak Atas Sejadah”

Isu Adab Dengan Al-Quran, Ryzal Ibrahim Mohon Maaf – “Tak Sengaja Letak Atas Sejadah”

Selebriti media sosial, Ryzal Ibrahim tampil memohon maaf secara terbuka selepas sepotong video pendek yang dikongsikan sebelum ini menerima respons negatif dalam kalangan warganet.

Menerusi perkongsian video berkenaan, Ryzal kelihatan meletakkan al-Quran di atas sejadah sebelum anak perempuannya, Rina, melanggar kitab suci itu dengan kakinya.

Ini kerana, insiden berkenaan terjadi apabila anaknya itu menangis apabila rehal miliknya patah.

“Semua nampak Ryzal memang tak sengaja letak Quran atas sejadah sebab kelam kabut rehal patah. Tak sedar pula Rina datang dari belakang dan terlanggar.

“Ryzal nampak dan terus angkat balik Quran tu dan tak biarkan atas sejadah.

“Tujuan asal Ryzal post video tu kerana Rina menangis rehalnya patah dan tak perasan langsung kesilapan itu,” katanya.

Sedar dengan respons yang diberikan, Ryzal berkata, sebagai seorang beragama Islam, dia sangat menghormati kitab suci itu.

“Kalau Ryzal tak tahu adab menjaga Mushaf, mustahil Ryzal baca, kongsi dengan anak isteri, dan letak atas rehal. Bila terjadinya rehal patah, lagi-lagi rehal kesayangan anak, mestilah rasa bersalah dan kelam kabut.

“Kalau tak sengaja saya terletak atas sejadah (bukan lantai) sementara mencari rehal lain. Seandainya itu mengguriskan hati ramai, maafkan insan lemah ini,” jelasnya.

Justeru, Ryzal menitipkan pesanan agar mana-mana individu yang mahu memberikan teguran maka, tegurlah dengan baik dan tanpa makian.

Selain, mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa prihatin terhadap mereka sekeluarga.

“Kalau kita melihat kekehilafan orang, tegurlah dengan baik. Tidak perlu makian, kata kesat, tuduh itu ini, seolah saya merendahkan keagungan Mushaf itu.

“Saya bukanlah sempurna, masih banyak perlu belajar. Berilah teguran baik dan bukan cacian,” ujarnya.

Scroll to Top