Isu Ambalat: Malaysia wujudkan situasi 'menang-menang' dengan Indonesia

Isu Ambalat: Malaysia wujudkan situasi 'menang-menang' dengan Indonesia

Tangkak: Malaysia akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ dengan Indonesia berhubung wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia boleh dilaksanakan menerusi kaedah perjanjian pembangunan bersama (JDA) bagi membangunkan ekonomi kawasan sempadan, dalam masa yang menyelesaikan perkara berkaitan isu-isu teknikal.

“Jadi, mengapa pula kita tidak menerokai hasil bumi di situ bersama-sama? Jadi, dua-dua negara boleh mendapat manfaatnya.

“Di samping itu, kita juga akan meneruskan juga perbincangan ataupun perundingan berkenaan sempadan. Jadi, kita tak mahu kita nanti ‘rugi-rugi’ (antara dua negara),” katanya.

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Abdul Rahim Talib di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, Anwar berkata kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau akan berkunjung ke Rom, Itali dan Paris, Perancis bermula esok dalam rangka lawatan bertemu rakan sejawatannya sebelum Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak BRICS bulan depan.

Beliau berkata antara perkara yang akan dibincangkan bersama rakan sejawatannya termasuklah mengenai isu kemanusiaan di Gaza, Palestin dan perang antara Iran dan rejim Zionis.

“Itu sentiasa menjadi perbincangan kita iaitu (konflik) di Gaza dan sekarang ini di Iran… itu akan menjadi perkara pokok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top