Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tampil mempertahankan kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi, susulan kontroversi analogi “lembu betina” yang dikaitkan dengan wanita memegang jawatan kepimpinan.
Analogi ‘lembu betina’ tidak bersifat seksis
Memetik laporan daripada Malaysiakini, Tuan Ibrahim menegaskan kenyataan tersebut tidak bersifat seksis dan hanya merupakan satu bentuk analogi yang lazim digunakan dalam penulisan.
“Saya tidak nampak apa yang seksisnya pada kenyataan tersebut.
“Ia (merupakan) satu analogi daripada perspektif dia (Muhammad Salman), bukan (satu bentuk) merendahkan martabat wanita pun.
“Cuma, mungkin ada pihak yang terasa,” katanya.
Isu analogi ‘lembu betina’ mendapat kecaman pelbagai pihak
Beliau berkata demikian selepas kenyataan Muhammad Salman menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia yang menyifatkan kenyataan itu sebagai seksis, biadab dan membahayakan kemajuan masyarakat.
Dalam hantaran media sosial, Muhammad Salman menyatakan bahawa berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama setahun, lembu betina memimpin kawanan ternakan, menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang.
Lembu jantan pula hanya menjaga keselamatan. Beliau kemudiannya mengaitkan peranan itu dengan struktur kepimpinan lelaki dan wanita dalam masyarakat.
Bergantung kepada bagaimana kita menilai
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa penggunaan analogi haiwan bukan perkara baru dalam budaya masyarakat dan penulisan Islam.
“Analogi ini bukan perkara baru dalam masyarakat kita dan ia bergantung kepada bagaimana kita menilai sesuatu.
“Dalam sejarah penulisan Islam, terdapat karya seperti Kalilah wa Dimnah yang sarat dengan perumpamaan dan kisah haiwan bagi menyampaikan pengajaran dan nilai moral,” ujarnya.
Artikel lain: Pemimpin PAS nafi tindakan Fadhli jejas sokongan parti -“Sindir menyindir perkara biasa”
Untuk rekod, ini bukan kali pertama pemimpin PAS menggunakan perlambangan haiwan yang mencetuskan reaksi awam.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli Shaari turut dikecam kerana menggunakan karikatur kambing dan monyet ketika menyentuh isu diplomatik Thailand-Kemboja.
Dalam kes Muhammad Salman, warganet dan beberapa NGO wanita terus mendesak agar pemimpin politik lebih berhati-hati dan sensitif dalam menyentuh isu yang melibatkan maruah wanita, meskipun dalam bentuk perumpamaan.