Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menegur bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar tidak terus putar belit fakta berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).

Jangan putar belit fakta
Menerusi hantaran di media sosial, Tengku Zafrul menegaskan dakwaan kononnya Malaysia perlu membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung AS adalah tidak berasas.
Tengku Zafrul dakwa Rafizi putar belit fakta tentang ART
Jelas beliau, keputusan mahkamah yang menolak tarif global dikenakan Presiden AS, Donald Trump secara tidak langsung bermakna tarif 19 peratus ke atas Malaysia sebelum ini juga tidak terpakai.
Tengku Zafrul berkata ART diwujudkan sebagai langkah persediaan awal bagi menghadapi risiko perdagangan global.
“Konsep perjanjian ART ini sebenarnya mudah, dia macam insuran perjalanan, masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa, tapi bila masuk hospital luar negara bil boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
“Waktu itu barulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting. ART ini pun sama, kita bersedia dari awal dengan sediakan payung sebelum hujan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial beliau hari ini.

Artikel lain: Tengku Zafrul bidas tuduhan Azmin isu ART -“Jangan baca sekerat”
Tambah beliau, Malaysia sedar kes melibatkan tarif oleh Trump sedang berjalan di Mahkamah Agung AS, namun negara tidak boleh menunggu sehingga keputusan muktamad dibuat kerana situasi boleh berubah sekiranya keputusan memihak kepada pihak berkenaan.
Ujarnya, dalam landskap perdagangan global, negara yang lambat bertindak berisiko membayar harga yang lebih mahal.
“Sebab itu kita mestilah bertindak awal dan kita bukan satu-satunya negara yang ambil pendekatan ini.
“Kesatuan Eropah, United Kingdom, Korea, Jepun dan terkini jiran kita Indonesia juga telah capai persefahaman dengan AS.
“Adakah semua negara ini juga tergesa-gesa? Atau mereka juga mahu beri kepastian kepada industri-industri masing-masing?” soalnya.
Menurut Tengku Zafrul, isu ART bukan soal siapa paling kuat bercakap tetapi siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negara, sambil menegaskan pendekatan proaktif dipilih demi menjaga pekerjaan rakyat dan masa depan industri.
“Ada orang tunggu ribut datang lepas itu sibuk bercakap tentang cara nak selamat, kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah baru nak cari tempat berteduh,” katanya.

Sumber: Instagram tzafrul




