Isu Badan Kehakiman dijangka selesai dalam tempoh terdekat

Isu Badan Kehakiman dijangka selesai dalam tempoh terdekat

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Perkara itu antara dibincangkan dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, isu terbabit disentuh Perdana Menteri yang turut menjelaskan mengenai prosedur pelantikan berkenaan.

“Itu semua perkara yang membabitkan kepentingan kepada pemerintah dan memerlukan kelulusan daripada Majlis Raja-Raja serta perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

“Contohnya, dalam isu pelantikan hakim, ia perlu melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk bersidang, angkat nama kepada Perdana Menteri, kemudian Perdana Menteri persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Seterusnya Yang di-Pertuan Agong akan berbincang pula dengan Majlis Raja-Raja. Jadi banyak berkisar mengenai hal itu, memberi pemahaman kepada kita semua,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sany berkata, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu perhimpunan dan perarakan oleh Majlis Peguam Malaysia dalam pertemuan berkenaan.

“Mengenai himpunan peguam, tiada masalah. Mereka mendapat kebenaran untuk berhimpun.

“Cuma isu (pelantikan) ini dijangka akan selesai dalam masa terdekat kerana Majlis Raja-Raja juga akan bersidang esok atau lusa. Jadi katanya, isu ini akan selesai secara baik minggu ini,” katanya.

Selain badan kehakiman, beliau berkata, Ahli Parlimen PH turut diberi penerangan mengenai isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta tarif elektrik.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana mulai jam 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, bekas Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menghadiri pertemuan kerana sedang berada di Singapura.

Difahamkan juga, bekas Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak hadir perjumpaan itu.

Jumaat lalu, Anwar mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Kompleks Seri Perdana bagi menjelaskan beberapa dasar kerajaan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan wakil rakyat kerajaan perpaduan.

Antara isu disentuh termasuk berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan isu percukaian yang menjadi perhatian umum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top