Isu bayaran tertunggak, UNIC berhati-hati terima tawaran konsert

Isu bayaran tertunggak, UNIC berhati-hati terima tawaran konsert

puterialia@hmetro.com.my

Foto Rohanis Shukri

Petaling Jaya: Anggota kumpulan nasyid UNIC, Bazli, 42, mengakui trauma untuk menerima tawaran persembahan apabila pernah berdepan dengan isu bayaran tertunggak selepas menjayakan konsert pada Disember lalu.

Menurut Bazli atau nama sebenarnya Bazli Hazwan Che Osman, isu ditipu penganjur bukanlah perkara asing, malah sering juga dialami rakan-rakan artis yang lain.

“Sebenarnya isu penipuan ini sudah banyak kali berlaku dalam industri, bukan sahaja kepada UNIC tetapi rakan artis lain juga. Ada kes yang terus senyap begitu sahaja.

“Bagi pihak UNIC sendiri, kami sebenarnya berasa trauma dengan apa yang telah terjadi. Bagaimanapun, setiap masalah yang timbul itu adalah satu proses pembelajaran dan pengalaman,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Konsert Malam Qolbu di Damansara, di sini, hari ini.

Enggan pisang berbuah dua kali, Bazli menganggap pendokumentasian sesebuah perjanjian itu penting bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku.

“Dokumentasi sangat penting. Artis kita kadang kala terlepas pandang bab ini. Jadi, penting untuk ada hitam putih, tanda tangan perjanjian dan catatan rasmi. Kalau perlu, ambillah perunding perhubungan awam yang lebih pakar untuk menguruskan acara besar.

“Orang luar tetap orang luar. Baik macam mana sekalipun hubungan itu, dokumentasi bertulis wajib ada. Sekali kita jumpa orang baru, kita akan dapat ilmu dan ujian baru,” katanya.

Dalam pada itu, Bazli turut mengaskan UNIC sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan berhubung urusan kontrak persembahan dan menolak dakwaan pernah bersikap culas sebelum ini.

​”Sebelum ini, kami memang sudah mengikut prosedur persembahan yang betul, cuma peraturan ketiga sekarang adalah perlu berhati-hati dengan individu yang hanya menabur janji manis. Kita jangan mudah terpedaya dan biarlah janji yang dibuat itu lebih realistik serta tidak terlalu tinggi,” katanya.

Terdahulu, UNIC dilaporkan berdepan isu bayaran tertunggak membabitkan sebuah konsert yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 20 Disember lalu.

Isu itu menjadi perhatian apabila ahli kumpulan UNIC, Dr Fitri Harris menyuarakan kekecewaan sehingga membuat laporan polis susulan kegagalan pihak penganjur melunaskan bayaran penuh seperti yang dipersetujui.

Namun begitu, pembayaran bayaran konsert This Is UNIC yang tertangguh selama lebih empat bulan itu akhirnya selesai sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, UNIC, Rabbani, Mawi, The Rayhan dan Opick bakal tampil dalam Konsert Malam Qolbu yang dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top