Isu buli: PSIMA syor pendekatan komprehensif, bukan hanya hukuman berat

Isu buli: PSIMA syor pendekatan komprehensif, bukan hanya hukuman berat

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu buli tidak boleh diselesaikan hanya dengan hukuman berat sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk pencegahan, pemulihan dan sokongan psikososial jangka panjang.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden buli yang meragut nyawa seorang pelajar baru-baru ini, selain mengambil maklum cadangan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pelaksanaan hukuman lebih berat terhadap pembuli.

Katanya, hukuman keras mungkin mampu memberi kesan amaran, namun ia tidak cukup untuk menangani akar masalah buli yang berpunca daripada pelbagai faktor psikososial seperti trauma, persekitaran keluarga toksik, kurang pendidikan emosi, pengaruh rakan sebaya dan masalah kesihatan mental.

“Justeru, PSIMA mengesyorkan beberapa pendekatan komprehensif untuk menangani masalah buli secara lebih berkesan.

“Antaranya termasuk penggubalan Akta Psikologi Malaysia bagi memastikan masyarakat menerima perkhidmatan psikologi yang betul serta melindungi mereka daripada khidmat psedopsikologi yang boleh memudaratkan,” katanya.

Shazli berkata, pihaknya mencadangkan agar khidmat kaunseling disediakan kepada mangsa dan pelaku buli bagi memperkenalkan pendidikan moral dan empati dalam kurikulum serta menyediakan latihan khas kepada guru untuk mengenal pasti tanda awal perlakuan buli.

“Penempatan ahli psikologi di sekolah, latihan pengurusan emosi untuk murid dan guru serta saringan kesihatan mental berkala perlu sebagai antara langkah memperkasa psikologi di peringkat sekolah,” katanya.

Katanya, perlu ada modul kesedaran buli dan pendidikan literasi emosi serta kesihatan mental dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara.

“Bagi pelaku buli pula, PSIMA berpandangan bahawa hukuman bersifat mendidik perlu disertakan dengan sesi kaunseling, selain penilaian psikologi sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terutamanya membabitkan pelaku bawah umur.

“Peranan keluarga dan komuniti juga perlu digerakkan menerusi program keibubapaan dan kesedaran masyarakat bagi mencegah perlakuan buli dari peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, Shazli berkata, PSIMA bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO) dalam merangka pelan tindakan membanteras gejala buli secara holistik.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, hukuman tegas dan keras tanpa mengira mana-mana pihak mesti dilaksanakan agar ia menjadi mesej jelas bahawa tiada lagi toleransi, kompromi atau meremehkan sebarang bentuk buli sama ada fizikal, mental, lisan serta siber.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top