Isu Buli Siber, Gangguan S*ksual… Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis

Isu Buli Siber, Gangguan S*ksual… Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis

Pelakon popular, Sophia Albarakbah, telah membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, hari ini selepas menjadi mangsa serangan digital dan buli siber secara berlebihan.

Memetik laporan Buletin TV3, Sophia dilihat tidak dapat menahan sebak ketika bertemu media sejurus selesai membuat laporan, hingga menitiskan air mata dan tidak mampu menjawab soalan wartawan yang hadir.

Peguam mewakili Sophia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam, memaklumkan laporan tersebut dibuat berhubung lebih daripada 10 hantaran media sosial oleh orang awam yang mengandungi kecaman, hinaan, ugutan, gangguan seksual secara terbuka serta penyebaran bahan berunsur lucah.

“Ini adalah rentetan selepas dia diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025, Ahad lalu.

“Sejak pengumuman itu, dia menjadi mangsa tuduhan liar dan fitnah terbuka, kononnya dia ‘berdrama’ untuk meraih publisiti murahan.

“Selain itu, dia turut menerima komen-komen berunsur lucah dan menjijikkan yang bukan saja merendahkan martabatnya sebagai seorang wanita, tetapi juga menormalisasikan budaya gangguan seksual atas talian.

“Terdapat juga penyebaran video parodi dan gambar yang dimanipulasi di media sosial dengan niat memperlekeh dan menjatuhkan maruahnya secara terbuka,” katanya.

Menurut Aizat lagi, Sophia turut menerima ugutan yang mengancam keselamatannya.

“Kami turut bimbang apabila terdapat ugutan yang menjejaskan keselamatan dia, termasuk ancaman berkaitan perkara tahyul seperti santau yang tidak wajar berlaku,” katanya.

Tambah Aizat, tekanan yang dialami Sophia akibat serangan digital tersebut telah memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraannya secara keseluruhan.

“Akibat daripada pembulian siber ini, selepas berbincang dengan pihak kami dan diberikan penjelasan mengenai peruntukan undang-undang semasa, anak guam kami bersetuju untuk membuat laporan polis.

“Dia mengalami tekanan emosi yang serius sehingga menjejaskan tumpuan terhadap kerjaya lakonannya.

“Seharusnya, kemenangan yang diperoleh menjadi satu detik membahagiakan, namun sebaliknya dia terpaksa berdepan kemurungan dan keresahan berpanjangan,” katanya.

Aizat turut menegaskan bahawa undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan mampu melindungi individu daripada perlakuan buli siber.

“Justeru, kami menyeru pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan yang dibuat.

“Kami juga sedang meneliti tindakan guaman secara sivil terhadap mana-mana pihak yang terus melakukan perbuatan tidak berpatutan terhadap saudari Sophia,” katanya.

Sumber & Kredit Foto: Buletin TV3, NSTP

Scroll to Top