Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dipanggil pihak polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya ketika berucap dalam ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Siasatan akan diteruskan
Memetik laporan daripada kosmo! Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menyatakan siasatan kes itu masih diteruskan dan beberapa saksi telah dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi akan dipanggil untuk merakam percakapan dan kita akan cuba selesaikan kes ini segera yang mungkin.
“Kertas siasatan berhubung kes ini dibuka di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Muktimedia 1998,”katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

Siasat kenyataan Sanusi sewaktu berkempen
Menurut Alzafny, siasatan dijalankan susulan dakwaan membabitkan kenyataan yang dibuat Sanusi ketika berkempen di Negeri Sembilan.
Setakat ini, rakaman percakapan beberapa saksi telah diambil dan polis sedang memperincikan semua keterangan sebelum melengkapkan kertas siasatan.

pemimpin UMNO Rembau juga akan dipanggil
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan seorang lagi ahli politik iaitu pemimpin UMNO Rembau akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa mengaitkan Institusi Diraja Negeri Sembilan dengan parti politik.
“Polis telah menerima 11 laporan polis berhubung keyataan pemimpin UMNNO Rembau itu sehingga tengah malam tadi.
“Kertas siasatan baru sahaja dibuka semalam, keterangan saksi yang membuat laporan polis serta saksi tambahan telah pun diambil,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan masih dalam siasatan dan polis akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.




