Isu cukai tanah Pulau Pinang: Guan Eng, Kon Yeow bertelagah lagi

Isu cukai tanah Pulau Pinang: Guan Eng, Kon Yeow bertelagah lagi

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pertikaman lidah terbuka antara Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang menunjukkan tiada tanda akan reda.

Guan Eng memperhebat kritikan beliau dengan mendakwa bahawa ramai pengundi tidak akan menyokong kepimpinan negeri sekiranya mereka tahu bahawa manifesto pilihan raya negeri 2023 membenarkan kenaikan kadar cukai tanah yang begitu tinggi.

NST Online melaporkan, beliau meluahkan rasa terkejut terhadap kenyataan terbaharu Kon Yeow bahawa manifesto pilihan raya bukanlah dokumen yang mengikat dan tidak menghalang kerajaan negeri daripada memperkenalkan dasar baharu.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, ini termasuk kenaikan cukai tanah yang ketara yang dianggap perlu demi kestabilan ekonomi, menegaskan bahawa manifesto ‘Kita Penang, Kita Boleh’ yang dilancarkan sebelum pilihan raya negeri lalu tidak menyatakan bahawa kadar cukai tanah boleh dinaikkan sehingga beribu kali ganda.

“Tiada sebarang petunjuk kepada kami sebagai calon (pilihan raya) ketika itu bahawa manifesto berkenaan membenarkan kenaikan seteruk ini. Ramai pengundi tidak akan menyokong Ketua Menteri jika mereka tahu perkara ini,” katanya dalam hantaran media sosialnya.

Dalam sidang media terbaharu, Kon Yeow menjawab kritikan bahawa inisiatif kerajaan negeri tidak terkandung dalam manifesto pilihan raya dengan menyatakan bahawa hujah terbabit tidak tepat.

“Manifesto menggariskan komitmen parti semasa bertanding dalam pilihan raya dan kita melaporkan kemajuan komitmen berkenaan setiap tahun dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau turut memetik penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) sebagai contoh, dengan menyatakan bahawa ia tidak termasuk dalam manifesto pilihan raya negeri ke-15, namun tetap dilaksanakan berdasarkan keperluan ekonomi semasa.

Guan Eng menggesa kerajaan negeri supaya menunaikan janji manifesto untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dan pembangunan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau menyifatkan kenaikan cukai itu sebagai keterlaluan, sambil memetik beberapa kes melibatkan peningkatan mendadak yang menjejaskan pemilik tanah di seluruh negeri, termasuk di Batu Kawan.

Katanya, ada pemilik tanah yang mengalami kenaikan sehingga ratusan, malah ribuan kali ganda, menyebabkan tekanan dan beban kewangan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa pejabatnya menerima banyak aduan, termasuk daripada seorang pemilik tanah di Simpang Empat yang kini bergelut dengan kemerosotan perniagaan dan komitmen pinjaman susulan kenaikan mendadak cukai tanah.

Guan Eng mempersoalkan kenyataan Kon Yeow yang memaklumkan beliau tidak menerima banyak aduan semasa turun padang di seluruh negeri dan bertanya sama ada Ketua Menteri benar-benar bertemu dengan penduduk yang terjejas di Batu Kawan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mengkritik kerajaan negeri kerana mempertahankan ketepatan pengiraan cukai tanah, dengan menyatakan bahawa beberapa kes menunjukkan pengurangan antara 80 hingga 90 peratus selepas dibangkitkan.

“Jika sistem itu betul, mengapa berlaku pengurangan yang begitu besar? Ini menunjukkan sistem pengiraan itu mempunyai kelemahan dan perlu dikaji semula,” katanya.

Beliau terus mengkritik Ketua Menteri secara konsisten sejak kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa pada awal tahun ini, menggesa supaya kadar itu dinilai semula dan meminta kerajaan negeri berunding dengan pihak berkepentingan serta memperkenalkan mekanisme yang lebih adil serta munasabah.

Guan Eng menambah bahawa kerajaan harus mengutamakan rakyat selaras dengan prinsipnya.

Kon Yeow sebelum ini menolak dakwaan bahawa beliau tidak peka terhadap isu rakyat di peringkat akar umbi, sambil menegaskan bahawa kekerapan beliau turun padang di seluruh negeri, termasuk melalui program Jelajah Ramadan, membuktikan sebaliknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top