Kerajaan menggesa supaya tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dibawa pulang dari Jepun sekiranya perjanjian pemindahan haiwan tersebut didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar serta sensitiviti semasa.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perjanjian pemindahan gajah berkenaan dimeterai secara Business to Business (B2B) antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji, Osaka tanpa penglibatan langsung kementerian.
“Kerjasama strategik antara kedua-dua zoo itu bermula menerusi dua perjanjian berasingan pada tahun 2022.
“Satu perjanjian pada 19 Mei 2022 di Taiping melibatkan seekor gajah jantan, manakala perjanjian kedua pada 6 Oktober 2022 di Osaka melibatkan dua ekor gajah betina.
“Saya ingin menegaskan NRES bukan signatory kepada perjanjian tersebut, malah ia dimeterai di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Namun kerajaan hari ini akan tetap bertanggungjawab menjaga kebajikan hidupan liar negara,” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Artikel lain: Bukan 127.3 hektar! Hanya 123 hektar Pulau Sebatik kini milik Indonesia -Arthur
Beliau berkata, cadangan membawa pulang ketiga-tiga gajah itu wajar dipertimbangkan secara serius dan segera, selain menggesa Zoo Taiping & Night Safari memulakan rundingan rasmi dengan pihak Zoo Tennoji.
“Pada 13 April lalu, kami telah membangkitkan isu ini dalam pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
“Manakala pada 21 April, NRES memanggil pihak berkuasa tempatan serta pengurusan Zoo Taiping & Night Safari bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Namun sehingga ke hari ini permintaan dan cadangan itu masih belum dipenuhi oleh kedua-dua pihak,”ujar beliau.

Arthur berkata, NRES bersedia bekerjasama secara konstruktif bagi memastikan keputusan dibuat berasaskan fakta, bukti saintifik dan standard kebajikan haiwan antarabangsa.
“Saya berharap pihak berkaitan sudah membincangkan ketika perjanjian dimeterai, termasuk kos dan tanggungan sekiranya perjanjian dibatalkan.
“Bagaimanapun NRES bersedia mengeluarkan dana jika diperlukan demi kepentingan negara dan dasar konservasi,” katanya.
Sumber: FB Arthur Joseph Kurup




