Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah menegaskan isu gangguan seksual termasuk perlakuan berunsur pedofilia yang didakwa membabitkan pelakon kanak-kanak perlu diberi perhatian serius.
Mengulas dakwaan seorang pelakon yang mendakwa pernah diliwat seorang pengarah ketika aktif sebagai pelakon kanak-kanak, Hafiz yang juga pelakon dan pengarah menggesa individu terbabit tampil membuat laporan rasmi dengan segera.
“Di SENIMAN memang ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas. Individu itu perlu datang buat laporan. Laporan bertulis sangat penting sebagai dokumen rasmi, sebab kami tak boleh keluarkan kenyataan tanpa asas dan bukti kukuh,” katanya.
Hafiz menegaskan pihaknya perlu berwaspada agar tidak menimbulkan tuduhan tanpa sandaran, justeru mangsa digalakkan berjumpa pihak SENIMAN atau sekurang-kurangnya menghubungi untuk perbincangan awal.
Menurut Hafiz, laporan bertulis akan membantu SENIMAN menilai langkah seterusnya, apatah lagi apabila dimaklumkan isu berkenaan didakwa bukan berlaku sekali, sebaliknya berulang kali.
ARTIKEL LAIN: Tampilkan Usop, Che Ta, Ropie & Ramai Lagi, Mat Kola Filem Pertama Arahan Hafiz Nafiah
Hafiz turut menjelaskan, sekiranya laporan dibuat, apa-apa bukti yang ada pada mangsa seperti mesej, gambar atau maklumat lokasi boleh dijadikan sokongan untuk menguatkan dakwaan.
“Mungkin ada bukti seperti perbualan WhatsApp, gambar atau apa-apa yang berlaku di tempat tertentu. Kita tak boleh pastikan selagi laporan rasmi belum dibuat. Kalau laporan sudah ada, barulah saya boleh ulas dengan lebih terperinci,” katanya.
Hafiz ditemui di majlis tayangan perdana filem Mak #SalamDariSyurga di TGV One Utama, malam tadi.
Filem lakonan Datuk Fauziah Nawi, Azman Ahmad, Firdaus Ghufran dan ramai lagi ini diarahkan oleh Hafiz Nafiah dan bakal ditayangkan di pawagam bermula 22 Januari 2026.
Buat masa ini, Hafiz sekali lagi menggesa individu terlibat datang ke pejabat atau menghubunginya supaya proses dapat berjalan secara formal.
Dalam pada itu, Hafiz yang sudah lebih dua dekad berada dalam industri mengakui kes seumpama itu bukan perkara baharu dan pernah berlaku sejak dahulu, malah menurutnya masih terjadi hingga kini.
“Saya tak menafikan apa yang didedahkan itu. Perkara seperti ini memang wujud. Dulu pun ada, cuma tak tular sebab bukan zaman media sosial. Ada yang bercakap secara terbuka, kononnya kalau nak dapat peluang, kena ikut kehendak tertentu. Ia berlaku dalam pelbagai situasi, bukan setakat antara lelaki, lelaki dan perempuan pun ada,” katanya.
Hafiz turut mengakui dia sendiri pernah berdepan cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan walaupun dirinya seorang lelaki.
Mewakili SENIMAN, Hafiz mengingatkan semua penggiat seni supaya sentiasa sedar tentang akibat berat jika disabitkan kesalahan, terutama apabila melibatkan kanak-kanak.



