Isu 'Glamping With Pride': Ahli Parlimen Hulu Langat adakan pertemuan dengan pemilik resort

Isu  'Glamping With Pride': Ahli Parlimen Hulu Langat adakan pertemuan dengan pemilik resort

rnoraina@hmetro.com.my

Kajang: Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan akan mengadakan pertemuan dengan pemilik resort di Hulu Langat di sini, yang dikatakan menjadi lokasi penganjuran program ‘Glamping With Pride’.

Beliau berkata, pertemuan dijadualkan esok itu, bagi mendapatkan maklumat mengenai program berkenaan yang didakwa berunsur unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ).

“Setakat ini kita diberitahu tiada tempahan berkaitan program itu akan diadakan di resort berkenaan, mungkin scam atau sengaja digembar-gemburkan.

“Sebab itu saya akan turun padang bersama pihak berwajib untuk bertemu pengusaha bagi mendapatkan penjelasan dan menjalankan siasatan secara menyeluruh serta telus,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, beliau menerusi kenyataan memaklumkan sudah membuat laporan polis dan mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) serta Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS).

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya faham kebimbangan masyarakat berkaitan perkara itu dan tidak memandang ringan isu yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta menjejaskan keharmonian sosial.

Beliau mengutuk sebarang bentuk penganjuran, promosi atau normalisasi amalan LGBT yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam, norma masyarakat, budaya tempatan serta undang-undang sedia ada di negara ini.

Program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat, Selangor hujung minggu depan dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan sebagai platform untuk memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Harian Metro melaporkan penganjur program ‘Glamping With Pride’ didakwa akan meneruskan program itu, walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top