Isu Grok: MCMC akan bertemu dengan pihak X minggu depan

Isu Grok: MCMC akan bertemu dengan pihak X minggu depan

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengendali platform X minggu depan berhubung aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu disahkan sebelum pertemuan itu berlangsung.

Katanya, ketika ini, pihak MCMC sedang menunggu maklumat terkini berhubung pertemuan itu kelak.

“Setakat jam 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan mereka sudah berhubung dengan pihak X untuk cuba mengadakan pertemuan pada minggu hadapan.

“Tapi ada beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu berjalan, tapi mereka ada berhubung dan sekarang kita nantikan maklumat terakhir,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Fahmi sebagai berkata, sedang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan memastikan aspek keselamatan dalam talian menerusi Grok.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu susulan kegagalan mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian khususnya kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang dipengerusikan bekas pemangku Ketua Hakim Negara, Tan Sri Hasnah Muhammad Hashim.

Beliau berkata, pertemuan itu juga membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang antara lain membincangkan beberapa perkara untuk membantu pengoperasian jawatankuasa berkenaan.

Katanya, ia supaya jawatankuasa berkenaan dapat segera memahami cabaran terkini termasuk membabitkan teknologi AI, usaha pihak kerajaan khususnya MCMC dan Kementerian Komunikasi untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu selain proses medan ujian pengawalseliaan (regulatory sandbox) yang melibatkan platform media sosial.

Turut dibincangkan dalam pertemuan dengan jawatankuasa itu adalah tindakan yang diambil terhadap Grok.

“Ini telah kami sampaikan dan insya-Allah jawatankuasa inilah yang akan membantu dan mengawasi serta menterjemah serta menetapkan apa yang dimaksudkan sebagai kemudaratan dalam talian untuk tindakan oleh pihak MCMC.

“Jadi saya harap jawatankuasa ini akan dapat berfungsi dengan baik, cermat, bebas dan memastikan (capaian) internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top