Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pihak tertentu yang menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga runcit bahan api sebagai ‘orang yang kurang cerdik’ serta tidak mengikuti perkembangan semasa dunia.
Berucap pada program Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di sini hari ini, beliau berkata keadaan menjadi lebih parah apabila isu global dipolitikkan tanpa memahami faktor sebenar yang mempengaruhi harga minyak.
“Ada orang yang kurang cerdik di luar sana, dia salahkan kita… Kamu tak boleh salahkan kita. Kamu tak baca buku ke? Kamu tak ikut berita ke? Kamu sampai tak tahu apa yang berlaku di dunia ke?
“Kamu tidak tahu ke ada sekatan di Selatan (Selat Hormuz). Ini masalahnya, semua nak dipolitikkan di negara ini,” katanya.

Kira-kira 7,000 anak muda pelbagai peringkat umur hadir pada himpunan tersebut yang turut disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan kini giat mengatur ekonomi negara bagi menyerap kesan daripada ketegangan geopolitik berpanjangan, termasuk konflik melibatkan Iraq, Amerika Syarikat dan Israel.
Menurutnya, harga RON95 di Malaysia masih antara yang terendah di dunia iaitu RM1.99 seliter, namun terdapat pihak yang terus mengkritik tanpa memahami situasi sebenar.
“Tanya di negara-negara jiran, semua beratur sebab catuan minyak tak cukup. Di negeri jiran ada masalah… ada sebuah negara ASEAN, lebih 400 kedai minyak sudah ditutup. Di Malaysia, alhamdulillah, kita boleh bertahan,” jelasnya.

Artikel lain: PM Anwar minta rakyat bertenang, masalah minyak tak serumit negara sekeliling
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan prestasi ekonomi negara menunjukkan petanda positif dengan pelaburan tertinggi dalam sejarah serta pertumbuhan yang mengatasi unjuran awal, disokong kekuatan ringgit di rantau Asia.
Katanya, kerajaan terus memberi penekanan kepada peruntukan besar dalam sektor pendidikan sebagai asas membina kekuatan negara.
“Dalam perbelanjaan negara, peruntukan terbesar adalah di bidang pendidikan sebab kita mahu anak-anak terdidik… meningkatkan kefahaman mereka dan menjadi benteng bagi ketahanan negara masa depan,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan generasi muda agar tidak mengabaikan nilai adab dan akhlak, terutama dalam era perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
Beliau pada masa sama memuji semangat perpaduan dalam kalangan anak muda pelbagai kaum yang hadir pada program berkenaan.
“Saya tengok anak-anak hari ini, saya bersemangat… dari anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Orang Asli, mereka berkumpul sebagai sahabat, bangkit mempertahankan negara Malaysia. Kenapa nak ditanam kebencian?” katanya.




