Isu hutang RM1.3 juta suami Intan Najuwa, Rizman Ruzaini hormati mahkamah

Isu hutang RM1.3 juta suami Intan Najuwa, Rizman Ruzaini hormati mahkamah

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pereka fesyen terkenal Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil atau dikenali Rizman Ruzaini belum bersedia memberi sebarang komen serta menghormati prosiding mahkamah berhubung kes saman membabitkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta yang dimenangi suami pelakon Datin Intan Najuwa iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman.

Rizman berkata pihaknya cuma akan berkongsi mengenai isu itu apabila sampai masa tepat nanti dan mengakui ada penjelasan tersendiri daripada pihaknya berhubung kes terbabit.

“Saya rasa, sesuatu cerita itu perlu didengar daripada kedua-dua belah pihak. Tapi dari pihak kami, saya tidak boleh berikan apa-apa komen lagi sebab ia masih lagi dalam prosiding mahkamah.

“Jadi, saya perlu hormat prosiding mahkamah itu. Bila sampai masa nanti, saya sendiri akan bercerita insya-Allah,” katanya pada pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Raya 2026, di sini, hari ini.

Rizman turut menyifatkan mereka sebagai pereka fesyen yang sudah hampir dua dekad dalam industri enggan melenting dengan dugaan menimpa jenama dibinanya selama ini.

Sepanjang 20 tahun Rizman Ruzaini bergelar pereka fesyen ini dan juga daripada pereka fesyen beralih jadi usahawan, saya rasa setiap pendekatan yang kita buat haruslah menunjukkan kematangan kitalah.

“Macam kami sendiri, sudah tentu setiap benda kami hadapi, saya rasa kita perlu ambil penyelesaian terbaik yang kita boleh. Kami memilih untuk menyelesaikan dengan cara yang paling profesional sekalilah.

“Dengan cara itu saya rasa sebaiknya kami ambil tindakan sebegitu dan insya-Allah bila sampai masa nanti kita akan bercerita,” katanya.

Apapun, Rizman bersyukur isu terbabit tidak memberi kesan kepada reputasi jenama mereka malah terharu terus menerima sokongan padu terutama daripada peminatnya.

“Sokongan pembeli sangat kuat, Alhamdulillah. Jadi saya rasa mungkin perkara itu tidak menjadi isu kepada peminat-peminat rekaan Rizman Ruzaini. Sokongan diberikan mereka itu sangat kuat sampai sekarang.

Sementara itu, mengulas mengenai kritikan dan pandangan segelintir pihak terhadap mereka sejak isu terbabit diperbesar, menurutnya itu asam garam yang perlu mereka lalui sebagai nama besar.

“Bagi saya, itu pandangan masing-masing. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Tapi macam mana kita harungi masalah itu. Bagi saya itu hak mereka untuk berkata-kata,” ujar Rizman

Terdahulu, Datin Intan Najuwa mengejutkan ramai apabila mendedahkan suaminya Datuk Ahmad Azraf Azman, memenangi kes saman terhadap jenama fesyen tersohor, Rizman Ruzaini membabitkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.

Pendedahan itu dibuat Intan menerusi laman Instagram miliknya dengan memuat naik dokumen penghakiman daripada Mahkamah Tinggi di sini, selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri bagi menghormati proses undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top