Isu IKS Seri Semarak: Jalan tengah dicapai demi kebajikan peniaga, pembangunan Setiawangsa

Isu IKS Seri Semarak: Jalan tengah dicapai demi kebajikan peniaga, pembangunan Setiawangsa

Kuala Lumpur: Isu pengosongan premis perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Seri Semarak di Setapak Jaya di sini kini menuju ke arah penyelesaian saksama menerusi pendekatan “jalan tengah” yang mengambil kira kelangsungan mata pencarian peniaga serta pematuhan undang-undang.

Penyelaras Zon Parlimen Setiawangsa Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata rundingan intensif yang melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pemaju, 59 Inc Sdn Bhd telah menghasilkan beberapa komitmen penting bagi membantu 98 pengusaha terjejas yang telah beroperasi di kawasan tersebut sejak 31 tahun lepas.

Beliau berkata mesyuarat bersama pihak berkepentingan bersetuju bahawa pihak pemaju akan menyediakan bayaran ex-gratia dan bantuan pemindahan, manakala tiga tapak alternatif milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah dikenal pasti untuk dipilih oleh pihak peniaga.

“Pendekatan kita sejak awal bukan untuk menentukan siapa menang dan siapa kalah, tetapi mencari jalan tengah. Para pengusaha menerima hakikat perlu mengosongkan kawasan untuk memberikan laluan kepada pembangunan, manakala pemaju bersedia membantu proses peralihan menerusi bayaran ex-gratia serta bantuan pemindahan.

“Ini bukan isu yang mudah kerana terdapat perintah mahkamah yang perlu dihormati. Namun, di sebalik persoalan tanah dan bangunan, ada manusia, pengusaha, pekerja dan keluarga yang bergantung kepada perniagaan di sini untuk mencari rezeki,” katanya pada sidang media berhubung isu perobohan dan pengosongan IKS Seri Semarak di Surau Al-Jabbar, Jalan Air Keroh Dalam, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penempatan baharu, Afdlin Shauki memaklumkan bahawa pihak beliau dengan kerjasama PTG telah mengenal pasti tiga pilihan tapak tanah di Mukim Batu (dua kawasan) dan Cheras bagi membolehkan pengusaha meneruskan operasi perniagaan secara sah.

“Kini terpulang kepada jawatankuasa IKS untuk membuat pilihan. Pihak KSN juga akan membantu mempercepatkan proses kelulusan tanah tersebut dan sebaik sahaja lokasi dipilih, pemaju 59 Inc akan masuk untuk membuat kerja-kerja pembersihan tapak.

“Di tapak baharu ini, kita akan pastikan peniaga memiliki Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan lesen perniagaan sah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya isu status atau risiko pengosongan tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Parlimen Setiawangsa menambah, komitmen untuk mempercepat proses pemindahan dan penyelesaian isu berkenaan turut mendapat perhatian peringkat tertinggi kerajaan serta telah direkodkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet.

Afdlin turut menegaskan komitmen peribadinya dalam memperjuangkan nasib peniaga terbabit sehingga mereka berjaya ditempatkan semula di lokasi baharu sambil menjelaskan bahawa status Surau Al-Jabbar yang terletak di kawasan berkenaan adalah selamat dan tidak akan diganggu mahupun diusik dalam proses pembangunan tersebut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, pihak PTG, serta seluruh agensi kerajaan yang terlibat atas keprihatinan dan kerjasama mereka dalam mempermudahkan penyelesaian isu berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur Hussen Zulkarai menggesa pihak berkuasa dan pemaju agar menetapkan garis masa yang pantas dan jelas bagi proses penempatan semula para peniaga terbabit.

“Memang struktur fizikal telah dirobohkan, tetapi ada beribu perut yang perlu diisi merangkumi pengusaha, pekerja dan ahli keluarga mereka. Kita memohon supaya proses penempatan di tapak baharu dapat dipercepatkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini supaya punca pendapatan mereka yang terputus tidak berlarutan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top