Isu insinerator: RTI tolak cadangan pembinaan, risiko kesihatan penduduk setempat

Isu insinerator: RTI tolak cadangan pembinaan, risiko kesihatan penduduk setempat

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Rawang: Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) terus menolak cadangan projek pembinaan loji rawatan termal (insinerator) di lot 3847 di sini, yang berisiko akan memberi impak sosial kepada persekitaran terutama kesihatan penduduk setempat.

Penolakan itu sekali gus menunjukkan penduduk setempat tidak mahu Rawang dijadikan sebagai hub sampah apatah lagi ia akan membabitkan pelupusan sampah secara pembakaran yang berisiko membawa kesan kerana berhampiran penempatan penduduk.

Penyelaras RTI, Dr Lam Choong Wah berkata, kaedah pembakaran akan mengeluarkan asap yang boleh merebak dalam radius lima kilometer (km) dari lokasi pembinaan, malah proses itu juga akan mengeluarkan habuk dan membebaskan gas toksik.

Katanya, keadaan itu akan memberi kesan kepada kawasan setempat apabila tapak cadangan loji itu hanya berada kira-kira 500 meter (m) dari Bandar Tasik Puteri, di sini, yang mana kawasan itu mempunyai penempatan padat dan ramai penduduk.

“Cerobong asap yang dibina juga sebenarnya bergantung kepada ketinggian bangunan bersebelahannya. Cerobong itu perlu dibina lebih tinggi daripada bangunan supaya tidak menghalang pergerakan asap dan tertumpu dalam kawasan itu saja, perlu ada angin.

“Persekitaran akan menjadi tidak bagus. Sekarang memang tiada bangunan tinggi di kawasan itu tetapi dalam jangka panjang, tidak mustahil ada kondominium dibina kerana pembangunan sedang membangun,” katanya pada sesi taklimat cadangan pembinaan projek itu kepada penduduk Kampung Baru Kundang, di sini, malam ini.

Menurutnya, pihaknya memberi taklimat mengenai perkara itu kepada penduduk berkenaan kerana lokasi kawasan itu yang kira-kira 4 km dari lokasi cadangan tapak pembinaan inserator yang secara tidak langsung kawasan berkenaan berisiko berdepan impak sama.

“Ini kali pertama kita berada di Kundang (memberi taklimat) dan kempen supaya penduduk maklum dan memahami isu pembinaan ini serta implikasi projek. Kami kekal mahu projek berkenaan dibatalkan kerana ia memberi kesan sosial dan kesihatan kepada penduduk.

“Selain itu ia akan menyebabkan bau busuk daripada sisa buangan, kesesakan lalu lintas kerana banyak trak sampah akan melalui kawasan ini setiap hari dengan kira-kira 300 lori akan masuk ke situ kerana kapasiti pembakaran hingga 2,500 tan sehari,” katanya.

Beliau berkata, dia pernah melawat loji inserator di Cameron Highlands dan Pulau Pangkor serta mendakwa sistem penapisan udara di loji berkenaan tidak memuaskan.

“Sepatutnya cerobong keluarkan stim saja bukan habuk atau asap. Sistem penapisan udara mempunyai masalah akan mengeluarkan asap hitam dan banyak karbon. Asap hitam berlaku kerana pembakaran tak sempurna dan kita tidak mahu ia berlaku kawasan ini,” katanya.

Lam berkata, pengurusan sisa pepejal memang penting namun beliau berpandangan ia tidak perlu menggunakan kaedah pembakaran sebaliknya boleh menggunakan insiatif lain yang tidak membabitkan pembakaran bagi sisa sampah daripada rumah.

Katanya, ia seperti pelan rawatan biologi mekanikal (mechanical biological treatment plan), Anaerobic digestor (satu siri proses biologi yang mana mikro organisma menguraikan bahan terbiodegradasikan (biodegradable) dalam ketiadaan oksigen) dan kemudahan pemulihan bahan (material recovery facility).

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, RTI sebagai pihak yang menyelaras usaha menolak cadangan projek pembinaan insinerator, kesal kerana bantahan penduduk tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Bantahan itu dibuat penduduk yang menetap di sekitar tapak projek iaitu Batu Arang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bandar Country Home dan M Residence.

Sebelum ini, akhbar ini turut melaporkan, lebih 20 persatuan komuniti mewakili kira-kira 100,000 penduduk membantah cadangan projek pembinaan insinerator kerana ia dikatakan memberi impak sosial selain berhampiran rumah ibadat, kediaman dan sekolah.

Mereka mendakwa, ia akan menyebabkan pencemaran udara, bau busuk daripada sisa buangan, kesesakan lalu-lintas kerana banyak lori sampah akan melalui kawasan itu setiap hari sekali gus nilai tanah dan hartanah menyusut serta kehilangan kawasan hijau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top