am@hmetro.com.my
Rembau: Malaysia sedia menghulurkan sebarang bentuk bantuan kepada Indonesia dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan termasuk mendapatkan sokongan atau bantuan daripada negara Teluk sekiranya diperlukan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia memahami kesukaran Indonesia bagi menguruskan kebakaran hutan yang luas dan jauh daripada kawasan sempadan.
Katanya, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Indonesia Arrmanatha Christiawan Nasir dalam masa terdekat bagi membincangkan keperluan bantuan berkenaan.
“Saya bersetuju juga dengan Syeikh Abdullah Zayed Al Nahyan (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Emiriah Arab Bersatu) semalam di mana beliau mengatakan jika perlukan bantuan daripada mereka, beliau bersedia dengan rakan-rakan yang lain untuk menghantarkan bantuan.
“Sekiranya Indonesia memerlukan bantuan, saya akan bawa perkara ini kepada rakan sejawat daripada negara Teluk untuk menghantar apa jua bantuan diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penerima Peringkat Dewan Udangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia tidak boleh berdiam diri memandangkan kebakaran hutan di Indonesia turut memberi kesan kepada negara serantau, namun sebarang operasi bantuan perlu mengambil kira faktor keselamatan.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, operasi memadamkan kebakaran hutan berdepan cabaran besar kerana lokasinya jauh di kawasan pedalaman, selain keadaan jerebu tebal yang menjejaskan jarak penglihatan.
Katanya, negara maju seperti Kanada dan Amerika Syarikat juga pernah berhadapan masalah kebakaran hutan seperti berlaku di Los Angeles yang membabitkan ramai orang terkorban.
“Memang kita di sini senang cakap…tetapi cuba bayangkan kawasan kebakaran itu membabitkan 1,000 kilometer (km) ataupun 500 km daripada kawasan penempatan, tidak ada jalan lain melainkan menggunakan pesawat namun pesawat juga tidak boleh melaksanakan tugas memadam kebakaran kerana jarak penglihatan yang terhad,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Yaman selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Republik Yaman Dr Afrah Abdulaziz Al-Zouba semalam.
Beliau juga berharap perang saudara di Yaman dapat dihentikan kerana konflik berkenaan tidak membawa sebarang kebaikan kepada rakyat negara itu sehingga mengakibatkan seramai 22 juta orang terpaksa menanggung akibat perang saudara itu termasuk ramai yang kebuluran.
“Malaysia sudah menyatakan rasa simpati dan bersedia untuk menyertai apa-apa saja misi bantuan ataupun menghulurkan bantuan.
“Seperkara lagi, kita minta supaya pihak-pihak yang berkepentingan daripada luar itu duduk semeja agar rakyat negara Yaman dapat menikmati kehidupan yang sejahtera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




