am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia bakal membentangkan satu dokumen perbincangan tidak rasmi berkaitan jerebu rentas sempadan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean di Manila, Filipina, 14 November hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu bertujuan mewujudkan satu rangka kerja bagi membolehkan negara-negara anggota Asean saling membantu antara satu sama lain setiap kali bencana kebakaran hutan atau jerebu melanda rantau ini.
“Saya akan membawa satu `non-paper’ dan bukannya sebagai agenda rasmi memandangkan agenda Asean bagi mesyuarat itu sudah pun ditetapkan.
“Saya merancang untuk mencadangkan perbincangan mewujudkan satu rangka kerja yang teratur bagi menangani isu jerebu rentas sempadan. Ini supaya negara anggota Asean dapat menyokong satu sama lain apabila berlaku kebakaran hutan atau jerebu yang menjejaskan rantau kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menyatakan keyakinan beliau bahawa isu berkenaan boleh diselesaikan di peringkat menteri dengan syarat wujud pemahaman serta persetujuan bersama.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh dan memilih untuk mengambil pendekatan diplomasi lembut.
Katanya, beliau sendiri sudah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Indonesia sebelum ini, Sugiono, serta Menteri Luar Indonesia yang terkini, Arrmanatha Nasir.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah berhubung dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi bertanyakan bentuk bantuan yang boleh dihulurkan oleh Malaysia serta perkembangan semasa situasi di sana.
“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut melawat Jakarta untuk bertemu Prabowo dan memberi jaminan bahawa Malaysia sentiasa bersiap sedia untuk membantu,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad menjelaskan bahawa tawaran bantuan berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan jarak penglihatan di kawasan yang terjejas adalah kurang daripada 50 meter, selain Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 1,000.
Beliau menambah bahawa lokasi kebakaran adalah jauh daripada kawasan penempatan, sekali gus menyukarkan usaha memadamkan api secara manual.
“Meskipun berdepan kesukaran, kerajaan Indonesia mengerahkan seramai 17,000 anggota angkatan tentera bersama-sama sekurang-kurangnya 60,000 sukarelawan untuk memadamkan kebakaran di darat.
“Operasi bom air pula tidak dapat dijalankan berikutan jarak penglihatan yang terlalu terhad,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




