hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dakwaan berhubung isu pampasan dan notis pengosongan tapak membabitkan kawasan Jinjang Selatan Tambahan di sini, disifatkan sebagai tidak berasas.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, pihak mengambil maklum kenyataan Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan berhubung isu berkenaan.
Katanya, berhubung dakwaan berunsur penipuan, salah guna kuasa dan tindakan yang menindas, ia adalah tidak berasas.
“DBKL bertindak berpandukan kepada rekod rasmi, fakta yang disahkan serta kuasa di bawah seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
DBKL menegaskan pihaknya sentiasa prihatin dan komited dalam menangani isu membabitkan penduduk di kawasan berkenaan.
“Sejak isu itu mula dibangkitkan, DBKL sudah mengambil langkah berterusan dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan bersemuka bersama wakil-wakil jawatankuasa dan penduduk terbabit.
“Sesi itu sudah menjadi saluran utama untuk DBKL mendengar sendiri kebimbangan dan tuntutan dikemukakan dengan memberi penjelasan secara telus,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya percaya pembangunan bandar tidak seharusnya menjadi punca kepada ketidaksejahteraan, sebaliknya satu peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan kemudahan kepada semua lapisan masyarakat.
“DBKL akan terus berusaha memastikan setiap tindakan yang diambil adalah selaras dengan kepentingan awam dan pembangunan lestari,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan, seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan, di sini, meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila DBKL mengeluarkan notis pengusiran paksa kepada mereka.
Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan Bargathalli dipetik berkata, pihaknya bertambah kecewa apabila mereka hanya ditawarkan pampasan bernilai RM5,000.
Bayaran pampasan ditawarkan kepada pemilik kedai dan perumahan itu disifatkan tidak munasabah berbanding dengan projek yang akan dibangunkan dan nilai semasa premis di kawasan berkenaan adalah RM300,000 hingga RM400,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd