KUALA LUMPUR: Isu kartel dalam kalangan pegawai polis tidak akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador.
Beliau yakin situasi yang berlaku dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu masih terkawal serta akan menghentikan gerakan tersebut secara dalaman.
“Saya nak jelaskan bahawa perkara itu bawah kawalan saya. Saya berbincang dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, tindakan akan diambil (secara dalaman) tidak sampai ke situ (lapor SPRM) termasuk sampai nak bawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Hamid sebelum ini mendedahkan wujudnya gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang bercita-cita menjatuhkannya.
Menurutnya, gerakan tersebut adalah kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Dalam perkembangan lain, ditanya siapa penggantinya sebagai KPN selepas kontraknya tamat pada 3 Mei ini, Hamid memberi bayangan timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani bakal menggalas tanggungjawab itu.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pelantikan itu.
“Jawatan ini memerlukan perkenan Agong, barulah ada lantikan rasmi,” katanya.
Terdahulu, beliau melancarkan portal dan aplikasi Mobile MyBayar Saman sebagai platfrom memudahkan pesalah trafik membayar saman secara dalam talian tanpa perlu hadir ke balai polis.