Isu kartel sampah haram dibangkitkan di Parlimen

Isu kartel sampah haram dibangkitkan di Parlimen

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu ribuan tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara yang didedahkan Harian Metro (HM) menerusi laporan bersiri khas sejak bulan lalu mendapat perhatian dan dibangkitkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang merujuk laporan bertajuk Kartel Sampah Haram Kaut Untung itu berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah haram yang beroperasi secara terbuka bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengancam kesihatan penduduk serta menjejaskan imej kawasan setempat.

“Lebih membimbangkan, kegiatan ini dipercayai didorong kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengelak kos pelupusan di tapak yang sah.

“Malah menerusi laporan khas Harian Metro bertajuk ‘Kartel Sampah Haram Kaut Untung’ yang mula disiarkan pada 24 September lalu, juga melaporkan berkenaan isu tapak haram pelupusan sampah di tujuh negeri yang membabitkan 3,723 hotspot dengan ada yang masih aktif,” katanya ketika ketika menyambung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027.

Roslan mempersoalkan sejauh mana seriusnya masalah tapak pelupusan sampah haram di negara ini serta langkah yang diambil kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras kegiatan berkenaan secara menyeluruh.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan kompaun sedia ada, termasuk sama ada hukuman lebih berat perlu dikenakan bagi memastikan pihak yang menguruskan kegiatan itu serta dalangnya tidak mengulangi kesalahan.

“Sejauh manakah serius tapak pelupusan sampah haram di negara ini dan apakah langkah kerajaan bagi membanteras kegiatan berkenaan secara menyeluruh? Adakah tindakan penguatkuasaan dan kompaun sedia ada benar-benar memberi kesan atau hukuman perlu diperketatkan bagi memastikan pengurusan tertentu serta dalang tidak mengulangi kesalahan?

“Apakah mekanisme pemantauan, penyelarasan antara PBT, kerajaan negeri dan agensi berkaitan selain langkah kerajaan menutup ruang kepada sindiket yang menjadi kawasan terbiar sebagai lokasi pelupusan sampah secara haram?,” katanya.

Roslan meminta penjelasan mengenai mekanisme pemantauan dan penyelarasan antara PBT, kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau juga membangkitkan keperluan kerajaan menutup ruang kepada sindiket yang menggunakan kawasan terbiar sebagai lokasi pelupusan sampah secara haram.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan sedang meneliti kes tapak haram pelupusan sampah daripada pelbagai sudut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilapor berkata, ini termasuk yang berkaitan dengan tatakelola dan perundangan tertentu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top