Isu keseimbangan tak goyah pendirian Arbeloa

Isu keseimbangan tak goyah pendirian Arbeloa

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa menegaskan beliau akan terus berdiri teguh bersama pemain bintang pasukannya dan memberi mereka minit permainan sebanyak mungkin, biarpun wujud perdebatan sama ada pasukan itu mampu berfungsi dengan berkesan apabila semua tonggak utama diturunkan serentak.

Los Blancos yang tewas kepada Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu, sekali gus terpaksa melalui pusingan play-off, dilihat kadangkala bergelut dari segi keseimbangan apabila terlalu ramai pemain menyerang berada di atas padang.

Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Vinicius Junior menamatkan empat perlawanan terakhir di bawah kendalian Arbeloa, bersama penjaga gol Thibaut Courtois, manakala pemain tengah Fede Valverde memulakan kesemua perlawanan itu dan hanya sekali dikeluarkan.

“Saya sentiasa mahu menurunkan pemain terbaik di atas padang, dan semakin banyak minit mereka dapat berbakti kepada pasukan, bagi saya itu lebih baik,” kata Arbeloa pada sidang media apabila ditanya sama ada lima pemain itu dianggap ‘tidak boleh disentuh’.

“Mereka adalah pemain yang boleh mengubah perlawanan pada bila-bila masa. Mungkin ada pihak yang bukan penyokong Madrid tidak mahu mereka berada di atas padang, tetapi saya percaya penyokong Madrid sentiasa mahukan pemain terbaik mereka beraksi, sentiasa berada di atas padang.

“Saya fikir lima pemain yang disebut itu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, jadi mereka mendapat kepercayaan penuh saya. Dan bukan sekadar kepercayaan, prestasi merekalah yang memastikan mereka terus diturunkan.”

Real akan melayan kunjungan Rayo Vallecano, dalam saingan La Liga dengan misi bangkit daripada kekalahan kepada Benfica, selain memberi tekanan kepada pendahulu liga, Barcelona.

Bintang Perancis, Mbappe sebelum ini mengkritik aksi tidak konsisten pasukan, dan Arbeloa mengakui Real sedang berusaha mengatasi masalah berkenaan.

“Kami sedang berusaha mencari konsistensi yang kami mahukan dalam permainan, di semua peringkat. Ketika ini, bukan masa untuk kecewa dan bukan juga masa untuk terlalu gembira,” kata Arbeloa.

“Ini masa untuk bekerja, itu sahaja.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top