hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Serdang: Laporan lengkap berhubung penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara duathlon dalam Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC), Jumaat lalu, dijangka diterima dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya sudah mengarahkan UiTM menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.
“Kita sudah arahkan pihak UiTM untuk sediakan laporan lengkap dan memastikan supaya langkah-langkah (yang perlu diambil susulan kejadian berkenaan).
“Kita jangkakan (laporan lengkap itu) kita akan dapat secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) 2026–2030 di UPM Serdang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mendapati berlaku kecuaian dalam program berkenaan, namun perkara itu akan berdasarkan hasil laporan lengkap yang diterima nanti.
“Apapun kita ambil tindakan berdasarkan pada laporan yang akan disediakan nanti,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, KPT meminta UiTM menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian penuntut meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara ‘duathlon’ dalam program KKEC, Jumaat lalu.
Zambry dipetik berkata, laporan itu termasuk mengenal pasti punca dan tindakan susulan.
Media sebelum ini melaporkan, ujian ketahanan yang sepatutnya menjadi rutin buat Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal bertukar tragedi apabila dia rebah ketika menyertai KKEC di kampus Universiti UiTM Jengka, Maran, sebelum disahkan meninggal dunia.
Pelajar berusia 21 tahun dari UiTM Kampus Seremban itu menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh, Pahang, kira-kira 2 petang Sabtu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


