am@hmetro.com.my
Melaka: Masjid Al Ibadah Bukit Piatu baru mengumpul dana RM75,000 setakat ini bagi membeli tanah bernilai RM400,000 yang menempatkan lebih 200 kubur dalam kawasan persendirian.
Pengerusi Masjid Al Ibadah Bukit Piatu, Shabani Mohd Sakan berkata, usaha pembelian tanah kira-kira seluas 9,000 kaki persegi itu perlu dilakukan memandangkan sebahagian kubur berkenaan sudah lama memasuki tanah milik individu sejak puluhan tahun lalu.
Menurutnya, keadaan yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Kampung Musai bukan isu baharu, sebaliknya wujud sejak sekian lama sebelum disedari dan kini memerlukan penyelesaian segera.
“Demi menyelamatkan kubur-kubur lama yang ditanam hingga memasuki tanah orang, kita perlu membeli tanah berkenaan.
“Pada mulanya pemilik meletakkan harga RM900,000, namun selepas rundingan, harga berjaya dikurangkan kepada RM400,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kutipan dana bagi Tabung Saham Wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Masjid Al Ibadah Bukit Piatu yang dilancarkan sejak beberapa bulan lalu masih jauh daripada sasaran.
“Jumlah itu masih sedikit dan kita masih memerlukan sumbangan besar untuk memastikan tanah ini dapat dibeli.
“Jika tidak, terdapat kemungkinan kubur-kubur lama yang berada dalam tanah persendirian itu terpaksa digali dan dipindahkan ke lokasi lain,” katanya lagi.
Katanya, pihak masjid mengharapkan keprihatinan orang ramai termasuk individu berkemampuan untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.
“Bantu kami selamatkan tanah kubur ini agar masalah yang berlanjutan sekian lama ini dapat diselesaikan dalam tempoh tahun ini dengan sokongan semua pihak,” ujarnya lagi.
Semalam Harian Metro melaporkan MAIM membenarkan kariah Masjid Al Ibadah Bukit Piatu melaksanakan kutipan dana bagi menyelamatkan tanah perkuburan di Kampung Musai yang terletak di atas tanah milik persendirian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




