Isu Kuil Bukit Lagi: Aktivis dibebas dengan jaminan polis

am@hmetro.com.my

Kangar: Seorang aktivis yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan dan penganjuran perhimpunan susulan perobohan sebuah kuil di Bukit Lagi di sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, suspek dilepaskan pada jam 3 petang sementara polis berusaha melengkapkan siasatan kes terbabit.

“Kertas siasatan kes juga sudah dimajukan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan polis untuk menyambung perintah reman selama dua hari lagi terhadap aktivis berkenaan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat lalu, suspek direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di aplikasi media sosial yang disyaki berbaur hasutan berkaitan penganjuran perhimpunan susulan perobohan kuil terbabit.

Siasatan bagi kes hantaran tersebut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top