rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia akan mengambil tindakan terhadap penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang didapati menggunakan logo tanpa kebenaran.
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi.
“Pihak kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Sentul pada 14 hingga 22 Disember lalu.
“Penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) oleh pihak penganjur dibuat tanpa kebenaran bertulis rasmi,” kata kenyataan itu.
Justeru, kedua-dua pihak tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti wanita menerima anugerah dalam acara terbabit.
Ia sekaligus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana penggunaan logo rasmi kementerian dan Tourism Malaysia yang turut mengaitkan pihak terbabit dalam penganjuran acara berkenaan.
Malah, ia turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial terutama beragama Islam yang mendakwa acara itu bertentangan dengan agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




